Kanak-kanak GISBH: Sebahagiannya di 'bin' kan Abdullah

0

 



Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti sebahagian ibu bapa daripada 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari 20 rumah amal kendalian syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun kesemua individu masih belum tampil untuk diambil keterangan.


"Kita (polis) mendapati mereka ini kemungkinan tidak tahu anak mereka sudah diselamatkan polis.


"Mungkin juga mereka ini tidak tampil kerana sebelum ini (pihak pengurusan) GISBH mengaku mereka ini anak yatim.


"Malah siasatan mendapati, sebahagian kanak-kanak ini sudah di bin kan dengan Abdullah disebabkan perkahwinan awal tidak didaftarkan. Apabila mengandung baru daftar di Pejabat Agama Islam Negeri mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Selain itu, Razarudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan antara kanak-kanak diselamatkan itu adalah adik-beradik.


Menurutnya, seramai 149 kanak-kanak berusia antara setahun sehingga 10 tahun diberi perintah jagaan sementara mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di empat lokasi selamat.


Katanya, baki 243 mangsa masih ditempatkan di Pulapol akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat.


Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi, pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.


Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.


Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top