Bayi lelaki ditemui dalam beg plastik ditinggalkan di atas sofa dekat surau Nilai 3

0

 



Seorang bayi lelaki yang dianggarkan baru berusia dua minggu, ditemui orang awam di atas sofa sebuah surau dekat Nilai 3 di sini, kira-kira jam 7.30 malam tadi.


Difahamkan, bayi yang diselimuti kain dan diletakkan di dalam beg plastik berwarna merah itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata bayi itu dipercayai ditinggalkan seorang individu yang tidak dikenali ketika waktu Maghrib sebelum beredar.


"Kira-kira jam 8.15 malam tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dihubungi seorang lelaki memaklumkan menjumpai seorang bayi lelaki dalam keadaan berselimut kain dalam sebuah surau di daerah Nilai.


"Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai seorang individu yang belum dikenalpasti identitinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, suspek dikatakan meletakkan bayi lelaki terbabit di atas sofa surau ketika waktu maghrib dan beredar dari surau dengan menaiki sebuah kenderaan yang tidak dapat dipastikan jenis atau modelnya.


Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Nilai di talian 06-790 4389," ujarnya.


Sumber – KOSMO! ONLINE 


Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top