Isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, tidak menolak kemungkinan bermadu jika suaminya berhasrat untuk berpoligami.
Nurul Shuhada menyatakan bahawa dia sedia menerima kehidupan poligami jika Hafidz dapat menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan adil.
"Bagi saya, sekiranya seseorang suami mahu berkahwin lain, sebaik-baiknya ikut sunnah Rasulullah. Contohnya, berkomunikasi dengan baik, tidak melakukan perkara dilarang atau boleh mendatangkan dosa.
"Jadi, saya tiada masalah berpoligami jika caranya betul. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah bertemu orang ketiga untuk melakukan provokasi seperti tarik rambut atau maki hamun.
"Sebaliknya, saya lebih cenderung memikirkan kenapa orang ketiga mahu berkahwin dengan suami saya. Sedangkan, saya rasa ditipu, selama ini," katanya kepada BH Online.
Ditanya boleh memaafkan orang ketiga, Nurul Shuhada berkata dia juga manusia biasa yang mahukan terbaik dalam segala hal.
"Maaf atau tidak, saya hanya manusia biasa. Apapun, saya akan cuba yang terbaik. Kalau berdendam sekalipun, saya bimbang tidak dapat meneruskan kehidupan pada masa depan.
"Apa yang saya harapkan ialah doa baik-baik. Mengenai Hafidz, saya tidak menyimpan apa-apa dendam.
"Bukan soal siapa menang atau kalah, apa yang saya perjuangkan adalah maruah diri dan anak-anak," katanya.
Nurul Shuhada memberikan kenyataan itu kepada media di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini, selepas menghadiri prosiding bagi pengesahan lafaz cerai terhadapnya, pada pagi ini.
Sebelum ini, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 9 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes cerai Hafidz dan Nurul Shuhada berhubung isu lafaz cerai yang dilafazkan Hafidz sebanyak dua kali.
Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Hafidz meminta satu tarikh lain bagi memberi jawapan balas berhubung isu lafaz cerai itu.
Pada asalnya, hari ini adalah hari pengesahan lafaz cerai tetapi mahkamah diberitahu bahawa terdapat isu baru berhubung isu cerai itu.
Kes perceraian dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Nurul Shuhada dikatakan memfailkan perceraian di mahkamah itu pada 27 Februari lalu, berikutan keputusan dan persetujuan kedua-dua pihak keluarga.
Sebelum itu, adik Nurul Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, menyatakan bahawa Hafidz bercerai talak satu dengan kakaknya pada 22 Februari lalu melalui panggilan telefon.
Hafidz dan Nurul Shuhada berkahwin pada 30 April 2016. Mereka mempunyai dua orang anak iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Sumber :Berita Harian Online