Norjuma diisytihar bankrap oleh Mahkamah Tinggi

0

 



Mahkamah Tinggi di sini telah mengisytiharkan usahawan Norjuma Habib Mohamed sebagai muflis setelah beliau gagal membayar hutang sebanyak RM260,400 kepada Fame Up Entertainment. 


Perintah kebankrapan ini direkodkan oleh Penolong Pendaftar Siti Zulaikha Nordin @ Ghani setelah petisyen kreditor difailkan oleh syarikat tersebut pada Oktober tahun lalu. 


Peguam Muhammad Hassanuddin Roslan yang mewakili Fame Up Entertainment mengatakan kepada pemberita selepas prosiding dalam kamar bahawa mahkamah tinggi hari ini mengisytiharkan Norjuma sebagai muflis. 


Beliau juga menyatakan bahawa Norjuma telah dimaklumkan mengenai prosiding tersebut pada jam 9 pagi ini tetapi tidak hadir ke mahkamah.


"Kami percaya Jabatan Insolvensi akan meneruskan proses kebankrapan ini," katanya.



Menurutnya, secara asasnya, Fame Up Entertainment memfailkan petisyen terhadap Norjuma, dan hari ini sudah ditetapkan untuk pendengaran.


"Mahkamah memutuskan (Norjuma) bankrap selepas dia gagal melunaskan bayaran untuk petisyen kreditor," katanya.


Zuriawati Zaidi, 44, pemilik syarikat Fame Up Entertainment turut hadir di mahkamah semasa kes itu didengar.


Pada bulan Oktober tahun lalu, Fame Up Entertainment telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Norjuma di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.


Notis tersebut adalah berdasarkan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkan Norjuma membayar sejumlah RM260,400 kepada Fame Up Entertainment.




Peguam Muhammad Hassanuddin berkata, sekiranya Norjuma tidak menyelesaikan bayaran tersebut, Fame Up Entertainment akan mengemukakan petisyen kebankrapan melawan usahawan berkenaan.


Menurut rekod mahkamah, Fame Up Entertainment telah menuntut Norjuma atas tuduhan fitnah dalam dua kes yang difailkan pada tahun 2019 dan 2020.


Sementara itu, Muhammad Hassanuddin juga berkata, proses waran tangkap ke atas Norjuma di mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam masih berjalan seperti biasa.


"Waran tangkap itu sudah diserahkan kepada balai polis di Kuala Lumpur dan Shah Alam," katanya.



Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top