antzen, penyanyi veteren yang terkenal dengan lagu Insan, tidak terkesan dengan pelbagai kritikan negatif yang dilemparkan kepadanya selepas tersebar video yang menunjukkan dirinya dalam keadaan tidak normal.
Beliau yang sebenarnya bernama Yantzen Juniwan, 65 tahun, berkata beliau tidak mahu ambil peduli dengan kata-kata netizen dan hanya fokus menjalani kehidupan seperti biasa.
"Saya tidak mahu memberi sebarang komen. Saya rasa sia-sia sahaja jika saya bercakap. Lagipun, jika saya beritahu pun cerita ini akan ada dua versi.
"Biarkan mereka menilai saya sepuas-puasnya. Saya hanya tumpukan perhatian pada kehidupan saya sekarang dan bukan mereka yang menyara hidup saya.
“Kritikan negatif itu perkara biasa. Mereka memang suka menghakimi orang,” katanya kepada mStar.
Yantzen berkongsi hal ini ketika ditemui semasa rakaman takbir raya di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada hari Rabu lalu.
Beliau juga mendedahkan bahawa beliau menghadapi masalah insomnia atau sukar tidur pada waktu malam.
Yantzen berkata beliau pernah tidak berkelip mata selama enam bulan akibat penyakit yang tidak dapat dikenalpasti punca dan rawatannya.
"Saya cuba memperbaiki diri sendiri, terus terang cakap saya enam bulan tak tidur. Itulah yang saya alami.
"Masalah kesihatan saya itu antara saya dengan Tuhan. Kalau benda-benda mistik saya tak tahu tapi saya ada lakukan perubatan Islam. Cara saya mengubati itu antara saya dengan Allah.
"Dari tahun lepas saya mengalami gangguan tidur ini," katanya lagi.
Sebelum ini, video yang menunjukkan Yantzen bercakap tanpa hala tuju dan seperti tidak waras telah menjadi tular di media sosial.
Sumber : mStar Online