Penafian : Gambar yang digunakan dalam artikel ini hanya sekadar hiasan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan tinjauan untuk mengumpulkan data dan fakta yang sebenar berkaitan dengan aduan peniaga bazar Ramadan yang mengeluhkan kerugian disebabkan oleh kurangnya pelanggan.
Menurut Menteri, Datuk Seri Salahuddin Ayub, tindakan ini diperlukan untuk membolehkan KPDNHEP menyemak kebenaran aduan tersebut dan memperoleh gambaran yang lebih tepat.
"Adakah ia berlaku di seluruh negara atau hanya berlaku di lokasi tertentu sahaja," katanya ketika dihubungi.
Sejak beberapa hari lalu, media melaporkan luahan hati peniaga bazar Ramadan yang mendakwa kerugian akibat makanan yang dijual tidak habis walaupun pengunjung ramai datang memenuhi bazar berkenaan setiap hari.
Seorang peniaga bazar Ramadan yang menjual nasi tomato dan nasi beriani di bazar Presint 14 Putrajaya dilaporkan mendakwa menanggung kerugian ratusan ringgit sehari kerana makanan yang tidak habis dijual.
Ia berikutan makanan yang dimasak setiap hari itu tidak boleh dijual semula pada keesokan harinya bagi mengelakkan pelanggan mendapat makanan yang rosak.
Tinjauan di beberapa media sosial yang membincangkan isu keluhan peniaga bazar Ramadan itu mendapati antara punca pengguna tidak banyak membeli di bazar berikutan faktor kos sara hidup.
Seorang pengguna media sosial berkata, ketika ini kebanyakan pengguna sedang berjimat berikutan perlu menanggung keperluan lebih penting.
"Banyak peniaga ambil kesempatan letak harga lauk pauk dan kuih muih agak tidak munasabah sedangkan rakyat perlu berjimat dan mengawal perbelanjaan.
"Tahun ini Ramadan bertembung dengan penggal baharu sekolah dibuka, jadi orang ramai lebih pilih untuk berjimat belanja harian untuk persediaan raya pula nanti," katanya.
Sumber : Harian Metro