Diana Danielle berhak untuk tidak membenarkan Farid Kamil masuk ke rumah mereka selepas mengemukakan permohonan penceraian pada 10 Mac yang lalu.
Menurut Datuk Akberdin Abdul Kadir yang merupakan peguam syarie Diana, anak guamnya adalah penyewa rumah tersebut dan mempunyai kuasa untuk memberi atau menolak kebenaran kepada sesiapa sahaja untuk masuk ke rumah itu.
"Rumah itu disewakan oleh anak guam kami, jadi dia ada hak untuk membenarkan sesiapa masuk atau tidak ke dalam rumah tersebut.
"Hubungan mereka juga memang sudah tidak baik, sebab itu anak guam saya ke mahkamah (memfailkan penceraian)," katanya kepada mStar.
Akberdin menjelaskan mengenai perkara tersebut susulan dakwaan Farid dihalang kembali ke rumah itu dan bertemu dengan anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Akberdin berkata, Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan mahkamah akan digunakan bagi mencari jalan penyelesaian sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.
"Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan," jelasnya.
Diana memohon cerai daripada Farid, 42, pada Isnin dan mengejutkan peminat-peminat mereka. Namun Farid yang terkenal dengan filem Anwar: The Untold Story tidak mahu menceraikan Diana kerana masih cintakan isterinya.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Benson, 32, mengemukakan permohonan cerai itu pada Isnin berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
Diana menyebut bahawa tiada lagi keharmonian antara mereka selain shiqaq iaitu pertengkaran yang berlarutan dan tidak boleh bersama sebagai suami isteri sebagai alasan dia memohon cerai daripada Farid.
Datuk Akberdin Abdul Kadir mewakili Diana yang membintangi filem Imaginur sementara Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Farid dalam kes cerai itu.
Diana telah menunjuk seorang rakan rapatnya sebagai wakilnya manakala Farid masih belum menentukan siapa yang akan mewakilinya dalam proses tersebut.
Hakim Syarie, Shukran Yusof telah menetapkan tarikh 28 Mac ini untuk Farid memberitahu mahkamah siapa wakilnya dalam JKP itu.
Pasangan ini telah berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad, 10 tahun dan Nur Aurora, 8 tahun.
Sumber : mStar Online