ANAK lelaki pertama kepada bekas jurulatih bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan iaitu Mohd Zaiza mengemukakan empat syarat kepada isterinya jika dia masih berkeras untuk memohon penceraian.
Suzur Sofia Smeth Jaya, 32, menceritakan bahawa empat syarat itu adalah dia tidak boleh menuntut nafkah idah, harta sepencarian dan nafkah tertunggak terhadap dua orang anak mereka serta perbelanjaan anak-anak perlu dibahagikan bersama.
"Syarat itu juga termasuklah saya tidak boleh menuntut nafkah anak-anak sekiranya kami bercerai," katanya kepada mStar.
Sementara itu, Suzur Sofia menceritakan bahawa proses pertemuan melalui Jawatan Kuasa Pendamai (JPK) di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada hari Selasa tidak berjaya apabila Zaiza masih berdegil dengan pendirian tidak mahu menceraikannya.
Menurut Sofia, suaminya itu kelihatan sengaja mahu menyeksa dirinya dengan melambatkan kes tersebut selain meletakkan syarat yang tidak munasabah sekiranya mahu dibebaskan.
"Kalau hubungan ini tidak boleh diperbaiki, kenapa seksa saya? Lebih baik lepaskan (cerai) sahaja. Selama lebih tiga bulan proses cerai, saya tidak lihat pun dia berubah menjadi lebih baik. Sekiranya ada perubahan mungkin hati saya terbuka untuk kembali bersama.
"Daripada kita membazir wang dan masa dengan kes mahkamah, lebih baik selesaikan cepat dan sama-sama fokus membesarkan anak-anak.
"Saya nampak dia sengaja mahu lengahkan kes ini. Dia pun pernah cakap nak gantung saya tak bertali," dakwanya.
Sementara itu, Sofia berkata, dia bakal memfailkan kes di mahkamah selepas mendakwa dipukul Zaiza dalam satu kejadian pada 24 Februari lalu.
Kejadian itu kata Sofia membuatkan dia berasa takut apabila Zaiza perlu ada bersama sekiranya dia ingin bertemu dengan anak-anak memandangkan ketika ini mereka berada bawah jagaan suaminya.
"Sekarang ini saya nak jumpa anak pun jadi takut sebab dia perlu ada bersama. Dia menyukarkan keadaan... boleh sahaja bawa anak-anak jumpa di mall atau tempat awam tetapi dia tetap mahu datang ke rumah. Hari ini pun dia janji nak bawa anak-anak ke mahkamah tetapi gagal berbuat demikian," ujarnya.
Sofia juga turut menyatakan rasa kecewa apabila Zaiza membuat permohonan hadanah (hak penjagaan anak) sedangkan suaminya itu tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyara keluarga.
Untuk makluman Sofia dan Zaiza berkahwin pada 15 Januari 2016 dan mereka mempunyai dua orang anak iaitu Muhammad Zaynedine Sulaiman, 6, dan Seri Zayana yang berusia dua tahun.
Pada 5 Januari lalu Sofia yang merupakan seorang pramugari telah memfailkan permohonan cerai terhadap Zaiza dan kes mereka akan kembali disebut pada 10 Mei ini.
Sumber : mStar Online