Zurina Badron, isteri kepada pelawak Chot XOXO, mengakui bahawa dia terkesan dengan tindakan bekas isteri Chot, Siti Zafirul Azzah, yang telah menyebarkan cerita mengenai rumah tangga mereka dan pada masa yang sama menuduh Zurina sebagai penyebab utama perceraian mereka.
Zurina, yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Syura Badron, menyatakan bahawa tindakan Zafirul atau Jaja tidak hanya memberi kesan kepadanya, tetapi juga kepada keluarganya.
"Selepas apa yang berlaku, perkara ini memberikan impak dan membabitkan banyak pihak.
"Bukan saja saya, bahkan keluarga, termasuklah adik saya, Syura turut terkena tempias kecaman walaupun dia tak ada memuat naik sebarang hantaran," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, Syura banyak memberikan nasihat dan kata-kata positif kepadanya memandangkan dia sudah lama berada dalam industri seni tanah air.
"Dia dah lama berada di dalam industri seni tanah air dan sudah tahu bagaimana untuk berhadapan dengan situasi sebegini.
"Katanya, sekali dianggap 'penyondol', orang akan anggap sebagai penjahat. Dia berikan kata-kata positif kepada saya dan menasihatkan saya supaya diam sahaja," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan bahawa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Chot dan Jaja, Zurina berkata, hubungannya dengan Jaja sebelum ini umpama adik dengan kakak memandangkan Jaja juga sudah ikhlas melepaskan Chot.
"Bagi saya, memang ada salah di pihak saya juga dan saya tak cakap yang saya betul. Cumanya, sampai sekarang, saya masih keliru kerana Jaja pernah berbincang dengan saya dan meluahkan bahawa dia ikhlas dengan semua yang berlaku.
"Apa makna ikhlas itu sekiranya dia mengambil tindakan untuk menularkan perkara ini dengan cara begitu? Mana hubungan baik kita seperti sebelum ini?
"Pada ketika itu (selepas Jaja bercerai dengan Chot), hubungan saya dan dia macam kakak dan adik. Dia pernah ikhlaskan dan beritahu mengenai ketenangan selepas bercerai.
"Atau, adakah tindakannya itu ada hubungan dengan hasutan orang lain? Atau mungkin ada kepentingan lain?" katanya.
Zurina kini menggunakan khidmat peguam bagi mencari jalan penyelesaian dan perdamaian.
"Saya pun nak dengar jawapan daripada pihak dia atas apa yang berlaku. Saya nak sangat bersemuka dengannya. Bukan untuk keruhkan keadaan, tetapi saya inginkan penjelasan. Saya pun dah berkahwin, jadi tentulah saya mahukan kehidupan yang tenang.
"Saya harap, dia sedar mengenai notis yang dihantar peguam dan bersetuju untuk berjumpa," katanya.
Sebelum ini, Jaja telah muncul dalam program Melodi dan memaklumkan bahawa tindakannya untuk menyebarkan gambar dan cerita mengenai rumah tangga mereka tidak bermaksud untuk memalukan sesiapa.
Chot dan Jaja telah bercerai pada bulan Mac tahun lepas selepas Jaja memfailkan permohonan cerai. Chot kemudian bertunang dengan Zurina pada bulan Ogos yang lalu dan mereka berkahwin pada 23 Januari yang lalu.
Sumber : HARIAN METRO