Kerajaan akan membuat pengumuman dalam Belanjawan 2023 untuk membantu golongan B40 terutama dengan membantu mereka menjana pendapatan tambahan tanpa perlu membuat pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata bahawa rakyat perlu berhati-hati dalam pengeluaran KWSP walaupun beliau faham ia boleh membantu sesetengah keluarga atau golongan pada masa sekarang, namun kos yang perlu dibayar di masa depan adalah tinggi.
"Saya fikir kita boleh ambil jalan mudah dengan membenarkannya, tetapi dalam keadaan masyarakat kita makin menua dan kos untuk melalui hari tua itu akan bertambah tinggi pada masa akan datang, jadi memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan seberapa ramai (rakyat) yang boleh ada sedikit simpanan.
"Apa yang kita mampu bantu dari segi bantuan, dasar yang lain sekarang ini yang membabitkan kos dan pendapatan, kita perlu tumpu yang itu dahulu kerana menyentuh atau mengambil wang persaraan di hari tua, walaupun ia nampak mudah untuk ahli politik sekarang, tetapi dia mencuci tangan untuk masa akn datang kerana yang akan menanggungnya ialah mereka yang kehilangan simpanan hari tua," katanya.
Beliau mengatakan hal itu dalam sesi media selepas menghadiri Sesi Kick-off Dialog Strategik Bersama Menteri Ekonomi: Pemacu Pertumbuhan Ekonomi dalam Era Revolusi Industri Ke-4.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa kerajaan sedang mengkaji alternatif untuk membantu rakyat yang menghadapi masalah kewangan akibat peningkatan kos sara hidup tanpa perlu mereka membuat pengeluaran dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Anwar mengatakan bahawa kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.
Sementara itu, Rafizi berkata bahawa kerajaan berharap dapat melanjutkan kajian separuh masa Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sedang berlangsung pada masa ini.
Katanya, pihaknya sedang melihat kepada dasar dan program yang dapat menetapkan sasaran pertumbuhan gaji kerana tidak boleh hanya melihat aspek kos sara hidup.
"Kerajaan mesti ada kerangka dasar yang jelas untuk tempoh dua, lima tahun akan datang untuk memastikan kenaikan gaji itu tidak diserahkan kepada pasaran semata-mata," katanya.
"Cuma di peringkat kementerian kami, ini semua adalah jangka sederhana dan panjang, tetapi secara prinsipnya, kalau kita berjaya memastikan program subsidi itu disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, itu juga akan memastikan kesan kenaikan kos sara hidup dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.
Sumber : Harian Metro