Tempat 'dating' pertama pasangan pengantin baru iaitu pelakon, Julia Farhana Marin, 28, dan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 33, ialah masjid kerana mahu menunaikan solat jemaah.
Julia Farhana ketika ditemui berkata, masjid pertama Che Hafiz membawanya ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dan ia sama sekali tidak diduga.
Katanya, memang rutin harian suaminya akan menunaikan solat berjemaah di masjid.
"Memang takkan dilupakan kami keluar 'dating' ke masjid. Lagipun, sehingga sekarang kami berdua memang selalu ke masjid untuk solat berjemaah. Saya bersyukur kerana suami banyak membimbing saya mendalami agama.
"Saya juga sudah semakin terbiasa dengan aktiviti solat berjemaah di masjid yang dilakukan suami. Tak dinafikan, kami ini datang dari latar belakang keluarga berbeza budaya. Saya dibesarkan di Australia dan bapa juga seorang mualaf.
"Jadi, apabila mengenali suami sememangnya saya sedar budaya kehidupan kami jauh berbeza dengan dia yang dibesarkan oleh ibu bapa yang mempunyai pegangan agama yang kuat," katanya kepada Harian Metro.
Julia Farhana berkata, dia bersyukur Allah mempertemukan jodoh mereka kerana Che Hafiz benar-benar bertanggungjawab membimbing dirinya berkaitan agama.
Katanya, dia kini banyak belajar mengenai agama dengan suami, begitu juga penerimaan baik daripada keluarga mentua.
Julia Farhana dan Che Hafiz ditemui pada majlis pelancaran lagu tema filem Coast Guard, Yes Sir nyanyian Zamani 'feat' Ariff Peter di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di sini.
Julia berkata, dia juga mendapati personaliti diri suaminya jauh berbeza dengan kebanyakan lelaki pernah dikenali sebelum itu.
Katanya, suami amat memahami dirinya dan tidak mendesak dia yang masih belum bersedia untuk bertudung.
"Alhamdulillah sejak dah berkahwin ini, saya seronok menjalani kehidupan sebagai isteri. Saya semakin membiasakan diri dengan tanggungjawab dan apa saja dilakukan mestilah kena berbincang dulu dengan suami dan meminta izin daripadanya.
"Saya tahu dah tak boleh lagi buat segala perkara ikut kepala sendiri sebagaimana sebelum berkahwin dulu. Alhamdulillah, suami juga menjadi kawan baik saya yang sangat memahami kerana kami berdua suka berbincang dalam segala hal termasuk urusan karier," katanya.
Julia Farhana berkata, mereka juga selesa memberi fokus pada rumah tangga yang baru dibina selama sebulan itu.
Katanya, tindakan berkenaan dirasakan lebih baik, sekali gus tidak mengaitkan orang lain kerana mereka hanya memberi tumpuan pada rumah tangga sendiri.
Pada 14 Disember tahun lalu, Julia Farhana dan Che Hafiz selamat melangsungkan pernikahan mereka di sebuah hotel ternama dalam suasana tertutup dan penuh meriah yang hanya dihadiri keluarga dari kedua belah pihak.
Julia Farhana yang melakonkan watak Melati dalam filem Coast Guard berkata, filem itu sangat bermakna kepadanya kerana berpeluang membawa watak utama sebagai pegawai penyiasat wanita di APMM.
Sumber : Harian Metro