Baru-baru ini seorang pengguna tiktok ada memuat naik satu video yang memaparkan ‘unboxing’ parcel di hadapan para pelajar ketika sesi perhimpunan pagi. Dapat didengar suara pelajar yang teruja mahu tahu barangan yang dibeli gurunya itu kerana dikatakan ia ‘hadiah’ untuk pelajarnya.
Video yang dimuat naik @idijohan_angklung_ memaparkan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mustaffa, Sekinchan, Selangor, Idi Johan Mohd Zohdi, beliau telah membeli barang tersebut seminggu yang lalu khas untuk pelajar di sekolah itu.
Setelah melakukan ‘unboxing’, beliau menunjukkan mesin pencukur rambut yang akan digunakan sekiranya terdapat pelajar yang berambut panjang dan tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
“Kepada pelajar-pelajar yang rasa rambutnya tidak menepati piawaian atau standard pelajar sekolah, sila potong rambut petang ini.
“Ajak sesiapa dan potong rambut. Esok saya akan pastikan dan kita akan lihat rambut siapa yang akan merasmikan mesin rambut yang mahal ini,” katanya dalam video itu.
Rupa-rupanya, guru itu membeli mesin pemotong rambut untuk pelajarnya terutama yang didapati langgar peraturan sekolah dengan memiliki rambut panjang bagi pelajar lelaki.
Perkongsian video tersebut telah meraih perhatian orang ramai dan rata-rata netizen memuji inisiatif yang dilakukan guru itu. Malah, para netizen juga mengatakan nanti adalah pelajar yang rasmikan mesin gunting rambut itu kerana rambut panjang dan tidak sempat potong.
Apa yang dilakukan oleh guru tersebut adalah salah satu usaha pihak sekolah agar pelajar mematuhi peraturan yang sudah sekian lama ditetapkan.
Sebagai pelajar, patuhilah segala peraturan selagi mana ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri anda. Jangan risau, rambut boleh tumbuh semula.
Buat ibu bapa pula, luangkan masa sebentar untuk memantau kekemasan diri anak-anak anda agar ia tidak menjejaskan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah.
Sumber: TikTok @idijohan_angklung_
Sumber Artikel : Sinar Harian