Baru-baru ini pihak kerajaan telah mengumumkan bahawasanya bermula 1 Julai 2022, harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak dalam botol akan dimansuhkan.
Perkara ini mungkin akan menyebabkan pengguna isi rumah perlu mengawal perbelanjaan harian. Dalam pada itu, langkah kerajaan ini dijangka menyebabkan inflasi makanan meningkat lebih tinggi di tengah-tengah kemuncak harga komoditi di peringkat global.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengatakan kerajaan jangka harga siling ayam akan mencecah sekitar RM10 sekilogram tetapi bagi peniaga ayam pula, menjangkakan mungkin akan melonjak sehingga RM15 sekilogram.
Ia berikutan terbeban dengan kenaikan berterusan kos pengangkutan ketika ini.
Memandangkan tiga barangan penting ini bakal mengalami kenaikan harga, pastinya kita sebagai pengguna akan terkesan dengan peningkatan itu.
Jadi, apa yang boleh orang ramai lakukan untuk mendapatkan harga barangan pada kadar murah di dalam pasaran?
Cara-cara untuk jimat berbelanja
1. Guna aplikasi bandingkan harga
Bagi anda yang sering melakukan pembelian barangan runcit, ada kalanya ia sukar untuk melakukan perbandingan harga semasa dari pelbagai kedai pada sesuatu masa.
Untuk mengatasi masalah ini, anda boleh gunakan aplikasi Price Catcher untuk melakukan perbandingan harga di pasaran.
Aplikasi Price Catcher turut hadir dengan sokongan geolokasi untuk memaparkan harga barangan mengikut kedai-kedai berdekatan dengan anda.
Harga juga dilihat dikemaskini setiap minggu, dan ia memaparkan harga mengikut paling murah dan tinggi. Dengan langkah ini, pengguna boleh lakukan semakan dan tuju ke lokasi kedai berhampiran dengan mudah.
Anda juga boleh bandingkan harga barang menerusi aplikasi Hargapedia. Aplikasi ini membantu anda menyemak harga barangan runcit pada masa semasa, dan membandingkan ia dengan mudah pada pelbagai pasaraya utama.
2. Ubah cara memasak
Jika sebelum ini seekor ayam boleh digunakan untuk dua kali masak, kini perlu diubah kepada tiga atau empat kali, ataupun kekerapan membeli ayam perlu dikurangkan.
Jika selama ini selalu memasak menu bergoreng, kini perlu beralih kepada sajian tidak menggunakan minyak masak seperti sup atau kukus.
Semoga kita semua dapat menempuh dengan kenaikan harga barangan yang semakin mencabar ini.
Terima kasih kepada tuan editor/wartawan , Sumber Artikel : Odisi.my