Harga barang naik, peniaga mengeluh pengguna makin kurang belanja

encik gotenks
0

Segelintir peniaga di pasar basah mengeluh susulan keuntungan mereka semakin merosot berikutan kenaikan harga barang, sekali gus menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan masing-masing.

Penjual ayam, Mahanom Husin yang telah berniaga di Pasar Seri Setia hampir 40 tahun memberitahu FMT, ramai pelanggannya mengurangkan hampir separuh pembelian mereka.

“Harga terlampau tinggi,” katanya.

Kenaikan harga ayam telah berlaku lebih tiga bulan.

Seorang lagi penjual ayam, Robaiyah Amir berkata, dia tiada pilihan selain menaikkan harga ayam dengan menjualnya pada harga RM11.50 sekilogram walaupun harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan ialah RM8.90.

Robaiyah mendakwa dia masih tidak mendapat mengaut keuntungan kerana kos operasi yang tinggi.

Harga ikan turut meningkat

Menurut penjual makanan laut Sathish Kumar, sebelum ini harga ikan turun naik dalam kadar tertentu disebabkan keadaan cuaca, namun ia meningkat dua kali ganda sejak beberapa bulan lalu.

“Misalnya ikan cencaru pernah dijual pada harga antara RM10 hingga RM11 sekilogram, tetapi sejak itu ia meningkat kepada RM20 hingga RM22,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggannya mengurangkan perbelanjaan mereka sehingga separuh daripada sebelum ini.

Seorang lagi peniaga, Ibrahim Abdul Rahman berkata, mereka juga terpaksa bersaing dengan pasar raya besar, pasar malam dan pasar tani.

Katanya, ia tidak seperti beberapa dekad lalu, apabila “anda akan datang ke pasar basah pada bila-bila masa anda ingin membeli daging lembu atau ayam”.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan berkata, pengguna terpaksa membayar lebih untuk mengisi perut berikutan 89% barangan mencatatkan kenaikan harga pada April.

Seorang pengguna, Nor Hafizah Bahrin yang merupakan golongan M40 turut mengadu bahawa dia berasa tersepit.

Bagaimanapun katanya, dia tidak akan menggantikan ayam segar dengan makanan dalam tin kerana ia tidak sihat.

“Gaji saya tidak begitu banyak, jadi orang seperti saya akan rasa terbeban,” katanya.

Sumber Artikel : FMT

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top