Yonnyboii teruja kali pertama memandu jauh pulang beraya

encik gotenks
0

 


Keterujaan penyanyi rap popular, Yonnyboii bukan sekadar meraikan Syawal apabila bergelar suami kepada Nik Nazira Narriman, malah rutin kehidupannya juga kian berubah.


Meraikan Syawal di kampung halaman isterinya di Kelantan, Yonnyboii buat kali pertama memandu kereta ditemani isteri pulang ke kampung.


"Jujurnya, saya tak pernah memandu kereta untuk perjalanan jarak jauh. Sebelum ini, saya juga tidak pernah memandu, apatah lagi, perjalanan jauh.

"Selepas berkahwin, saya mulai merasai momen ini. Saya dan isteri pulang ke Kelantan pada pagi raya lalu.



"Keluarga tidak membantah apabila saya menyuarakan hasrat meraikan Syawal dengan keluarga sebelah isteri," katanya kepada BH Online.


Penyanyi lagu Sakiit itu berkata, Ramadan lalu menjadi ruang terbaik mengerat hubungan bersama isteri.


"Kini, waktu berbuka puasa dan sahur saya ada isteri menemani. Ada masa, kami bangun bersahur dan sebaliknya.


"Isteri pula memang suka memasak. Dahulu, saya jarang masuk dapur, tetapi kini sudah mula berjinak-jinak sebagai chef.


"Banyak resipi saya belajar daripada isteri. Daripada tak pandai menumis, kini saya semakin mahir. Ada masa saya hanya membantu isteri termasuklah mengemas dapur dan membasuh pinggan," katanya yang baru sahaja muncul dengan dua projek lagu raya, Balik Kampung dan Semangat Lebaran Kita berduet dengan Wani Kayrie.



Dalam pada itu, Yonnyboii berkata, ibu mentua meminta segera menambah ahli keluarga dengan kehadiran cucu.


Bagaimanapun, katanya, dia dan isteri masih belum bersedia, malah masih menikmati fasa bulan madu.


"Perancangan menimang cahaya mata memang ada, lebih lagi, ibu mentua boleh dikatakan setiap hari bertanya soal cucu.


"Namun, jujurnya, saya belum bersedia. Saya baru berusia 24 tahun dan mahu menikmati momen berdua dengan isteri. Jika ditakdirkan ada rezeki, adalah," katanya yang mendirikan rumah tangga pada 20 November, tahun lalu.


Sumber : Berita Harian Online

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top