Wanita jamah mi segera di pagi syawal minta netizen hentikan kecaman, cemuhan

encik gotenks
0

 


Baru-baru ini viral satu artikel yang memaparkan enam beranak terpaksa menggantikan rendang dan lemang dengan hidangan mi segera pada 1 Syawal lalu berikutan Hari Raya Aidilfitri disambut sehari awal daripada jangkaan iaitu pada Isnin.


Wanita yang tular menjamah mi segera bersama suami dan anak-anaknya pada pagi raya pertama Aidilfitri meminta pengguna media sosial menghentikan segala kecaman dan cemuhan terhadap mereka sekeluarga.


Norazizah Chon, 48, berkata, tohmahan dilemparkan netizen berhubung isu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu itu hanya mengundang tekanan emosi dan membebankan fikiran mereka lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang meraikan Aidilfitri ini.


"Saya tidak menyangka perkara ini (menjamah mi segera) boleh menimbulkan salah faham masyarakat sedangkan hanya berkongsi kisah di pagi hari raya.


"Saya mohon kepada anda semua tolonglah doakan baik-baik sahaja dan baca cerita sebenar sampai habis dan bukan hanya membaca tajuk semata-mata," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.


Menurut Norazizah, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap mereka sekeluarga di ruangan komen dan perkongsian isu itu di media sosial.



"Saya malu dan berasa sedih apabila menerima kecaman daripada netizen kerana ramai rakan bertanya tentang kebenaran di sebalik cerita itu.


"Sejujurnya saya hanya berkongsi perasaan apabila ditanya wartawan tentang pengalaman menarik di pagi Syawal dan tidak menyangka cerita terbabit tular yang mengundang cemuhan netizen.


"Di bulan mulia ini, saya memohon maaf jika perkongsian ini menyebabkan netizen tidak puas hati dan berharap mereka hentikanlah kecaman berterusan," ujarnya.

Sumber : Sinar Harian

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top