Kerajaan Pusat dan kerajaan Johor disarankan mencari penyelesaian bagi menghalang migrasi besar-besaran pekerja tempatan ke Singapura yang menyaksikan peningkatan mendadak kebelakangan ini.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, migrasi besar-besaran pekerja tempatan terutamanya rakyat negeri ini perlu diambil serius dengan langkah menghentikan aliran penghijrahan itu perlu dirangka.
Katanya, langkah menghentikan penghijrahan atau migrasi besar-besaran tenaga kerja tempatan itu perlu dilakukan menerusi polisi menyeluruh dan fokus terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi negara.
"Antara langkah yang boleh dilihat bagi menghalang migrasi besar-besaran adalah kerjasama yang lebih baik antara koridor ekonomi di Johor seperti Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan Zon Ekonomi Khas Pagoh (PSEZ).
"Terdapat beberapa elemen yang boleh ditumpukan penggubal dasar untuk meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan dengan melaksanakan dasar yang menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia dan terus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan daya saing perniagaan.
"Selain itu, langkah mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah yang mengganggu aliran gaji keseluruhan pekerja tempatan selain ia akan melonjakkan produktiviti pekerja melalui pembangunan modal insan yang dipertingkatkan," katanya dalam muat naik dalam akaun Facebooknya, hari ini.
Berdasarkan data, jumlah tenaga pekerja tempatan yang berhijrah untuk bekerja di Singapura meningkat kepada 952,261 pada 2019 berbanding hanya 195,072 pada 1990.
Antara faktor jumlah migrasi pekerja tempatan terutama rakyat Johor ke republik itu semakin meningkat ialah kadar gaji dan manfaat yang kurang menarik, prospek kenaikan pangkat yang terhad dan peluang sesetengah bidang yang tiada di negara ini.
Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, bagi mengatasi migrasi pekerja tempatan secara besar-besaran usaha termasuk meningkatkan infrastruktur dalam negara terutama di Johor perlu sentiasa dilakukan.
"Ia termasuk akses dan kualiti pengangkutan awam selain mempercepatkan pembaharuan politik dan institusi untuk kestabilan politik dan ekonomi serta kemampanan dasar yang dibuat.
"Singapura menjadi pilihan utama bagi pekerja dari Johor dan Malaysia kerana kedudukannya daripada segi geografi dan budaya, serta infrastruktur dan ekonomi republik itu yang lebih maju secara keseluruhannya.
"Oleh itu, Malaysia dan Johor perlu secara agresif memberi tumpuan meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan secara holistik bagi menarik minat tenaga mahir tempatan selain mengelakkan berlaku migrasi besar-besaran pekerja tempatan seperti yang berlaku ketika ini," katanya.
Sumber : Harian Metro