Seorang kanak-kanak teruja menerima duit raya sebanyak RM1,000 yang diperoleh daripada bapa dan ibu saudara yang pulang ke kampung pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Muhammad Aiman Naufal Mohd. Nazri, 11, berkata, sambutan Syawal tahun ini merupakan antara kenangan yang paling menggembirakan apabila dia menerima duit raya paling banyak tahun ini.
Muhammad Aiman berkata, dia tidak menyangka dapat mengumpul duit raya sehingga RM1,000 selepas dua tahun tidak beraya bersama saudara-mara.
“Memang saya amat gembira dengan duit raya yang diperoleh pada hari raya tahun ini. Bukan sahaja pengumuman sambutan Aidilfitri yang mengejut malah kutipan duit raya juga mengejutkan saya pada tahun ini.
“Sebelum ini, paling kurang pun saya dapat kumpul sekitar RM100 hingga RM200 sahaja. Semua adik berada sebelah ibu bapa saya pulang ke kampung pada tahun ini dan itu merupakan faktor utama saya dapat mengumpul sehingga RM1,000,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Muhammad Aiman menambah, kesemua wang yang diperoleh itu akan disimpan dalam bank bagi pelaburan masa depan.
“Apa pun, sambutan raya tahun ini yang paling meriah dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujarnya
Sumber : Kosmo! Online