Sudah semestinya menjadi satu pengalaman paling manis terutamanya kepada pasangan yang baru kahwin apabila akhirnya dapat sambut ramadan berdua.
Sudah menjadi kelaziman, si isteri akan sediakan juadah sahur untuk suami. Seorang pempengaruh media sosial iaitu Siti Sarah Mustafa berkongsikan kenangan manis selepas bergelar isteri kepada Ahmad Tarmizi Zainudin Ariff, 24, kira-kira tiga bulan lalu.
Mana tidaknya, Ramadan yang disambut pada tahun ini bukan sahaja berbeza seperti dua tahun sebelumnya, dia juga perlu melunaskan setiap perkara yang pernah dilakukan ibunya dahulu termasuk bangun awal pagi untuk memasak sahur.
Katanya, keadaan serba baharu itu menjadikan suasana Ramadan yang diraikan sedikit mengujakan.
Justeru, kata-kata 'nak pikat suami, pikat perut dia dulu' digenggam rapi demi mencipta kebahagiaan bersama suami.
"Teruja sampai speechless! Saya juga rasa sebak sebenarnya, yelah sebelum ini boleh dikatakan sahur dan juadah berbuka dimasak oleh ibu sepenuhnya
"Tapi sekarang dah berbeza, saya sendiri yang harus sediakan hidangan untuk suami terutamanya sahur," ceritanya riang.
Ujarnya, hidangan sahur pertama yang dimasak untuk suaminya adalah ikan bilis masak kicap dan telur mata.
"Dia memang minta menu tu sebab makanan kegemarannya sejak dulu. Kalau masakan pertama selepas bergelar isteri pula adalah sup ayam... semuanya simple tapi menepati citarasa suami," katanya.
Menurut wanita berusia 24 tahun itu, perasaan menyambut Ramadan juga berbeza dengan sebelumnya kerana menjadi seorang isteri bukanlah mudah seperti yang disangka.
Malah dia mengakui perasaannya sedikit berdebar apabila bulan puasa semakin menghampiri.
Lebih-lebih lagi dia sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pada masa sama perlu menguruskan bisnes serta kerjaya sebagai model.
"Serba sedikit nervous juga! Saya masih belajar, seorang model yang turut mempunyai bisnes sendiri dan kini sudah bergelar isteri.
"Tipu kalau cakap tak stres sebab nak catch-up semua benda tapi pada masa sama nak enjoy. Sebenarnya, kesibukan menjadikan saya lebih produktif berbanding tidak buat apa-apa dan nak habiskan belajar adalah tanggungjawab untuk membanggakan ibu bapa.
Sumber : mStar Online