"Rasa seperti kayangan dan bermimpi bila dapat berbelanja semula di Johor, selepas dua tahun tidak jejak kaki di sini,"kata warga Singapura, Muhd Alfian Abd Rahim, 34.
Muhd Alfian bersama isteri Hannah Rahman, 30, dan tiga anak mereka tiba pada hari pertama sempadan Malaysia- Singapura dibuka untuk menziarahi keluarga di bandar raya ini dan sangat gembira dengan pembukaan sempadan dua negara ini.
"Saya tiba di Johor untuk bertemu ahli keluarga yang sudah dua tahun tidak berjumpa. Apabila masuk ke sini (Johor) rasa macam kayangan, umpama mimpi dalam realiti.
"Saya juga rasa gembira dengan warga Malaysia yang bekerja di Singpura. Saya tumpang gembira dengan pembukaan kedua negara. Rindu sangat tempat ini (Angsana Johor Bahru Mall), tidak sangka dapat membeli belah lagi di sini.
"Saya rasa nanti sebelum raya Aidilfitri atau hujung minggu akan mula lebih meriah. Hari ini pun sudah ramai orang termasuk saya yang mahu membeli busana raya diawal waktu," katanya ketika ditemui di sini.
Juruteknik di Kota Singa itu juga tidak sabar untuk merasa juadah di negeri ini terutamanya kuih raya dan bangkit cheese.
Katanya suasana raya dua tahun lalu baginya tidak lengkap tanpa bangkit cheese.
"Kuih di sini berbeza dengan di Singapura, tekak saya rasa kuih di sini lebih sedap, saya teringin sangat nak makan kuih bangkit cheese dari Johor," katanya.
Tinjuan NSTP di beberapa pasar raya yang menjadi tumpuan warga republik itu sebelum pendemik C0vid-19 melanda masih lagi tidak semeriah dahulu.
Namun dijangkakan kedatangan warga Singapura berlaku secara berperingkat dan dijangka sesak terutama minggu depan berikutan cuti umum di sana.
Bagi pengurus akaun bidang farmaseutikal, Azhar Masril, 37, pusat membeli belah ini adalah antara destinasi pertama yang ingin dikunjunginya bersama keluarga selepas menyeberangi sempadan malam tadi, lebih-lebih ketika sudah memasuki Ramadan.
Katanya berbelanja di sini memberi kepuasan buat keluarga kecilnya dalam membuat persediaan awal untuk menyambut Aidilfitri.
"Alhamdulillah masih berpeluang bertemu keluarga di sini, merasa cukup bahagia bersama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadan bersama-sama.
"Perjalanan kami dari Singapura pada malam tadi juga berjalan lancar dan masih belum banyak kenderaan masuk ke Johor Bahru. Mungkin pada minggu hadapan laluan itu mula sibuk setelah cuti umum di Singapura.
"Di sana juga ada pusat beli belah yang menjual baju kurung dan baju melayu, namun tidaklah semeriah jika dibandingkan di sini. InsyaAllah, harap perayaan pada tahun ini menjadi lebih meriah," katanya yang akan meraikan Aidilfitri di Padang, Indonesia.
Sementara itu, Ketua Pengurus Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh berkata, pihaknya menjangkakan 30 peratus kedatangan warga Singapura pada tahun ini.
Katanya jumlah itu berdasarkan pembukaan sempadan kedua negara sejak Jumaat lalu.
"Sebelum ini jumlah kedatangan warga Singapura 50 peratus dari jumlah pengunjung setiap tahun terutama menjelang Ramadan," katanya.
Sumber : Harian Metro