Penduduk Pangsapuri Sungai Baru kecewa terima notis kosongkan rumah ketika Ramadan

encik gotenks
0

 


Di tengah-tengah kesibukan membuat persiapan untuk menyambut bulan Ramadan, penduduk Pangsapuri Sungai Baru di Kuala Lumpur terkejut selepas menerima Borang K (notis pengosongan rumah).


Ketika dihubungi, seorang wakil penduduk berkata ada antara mereka yang masih belum menerima pampasan sepenuhnya tetapi masih diminta untuk mengosongkan rumah.


"Penduduk flat Sungai Baru dimaklumkan mengenai Borang K pada 22 Mac. Tapi, sebenarnya, borang itu sampai ke tangan penduduk pada 1 April.


"Masalahnya, bila penduduk menerima notis 1 April hanya tiga hari sebelum nak puasa. Adakah patut surat ini dikeluarkan pada waktu penduduk menyambut Ramadan?" soal wakil itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ibrahim.


Katanya, penduduk perlu diberi masa sewajarnya dan perbincangan melibatkan semua pihak sebelum diminta mengosongkan rumah.


Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan lapan blok pangsapuri atau 264 unit rumah pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.



Pada Julai 2021, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Sesyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.


Namun, penduduk khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL).


Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur, Zulfakar Wahib memberitahu hampir 85 peratus penduduk pangsapuri bersetuju untuk pindah.


Namun, Ibrahim menyangkal kenyataan Zulfakar sebagai tidak betul sepenuhnya.


"Secara amnya, penduduk sedia pindah sekiranya diberi pampasan sewajarnya. Kami diberitahu bahawa nilai tanah di sini sekitar RM1,000 hingga RM1,500, (kaki persegi) tapi yang ditawar RM400 sahaja.


"Apabila, kami minta mengadakan perbincangan, mereka menggunakan warta untuk mengusir kami secara paksaan," katanya.


Tulis surat kepada Shahidan



Pada Rabu lalu, penduduk menerima Borang K yang meminta mereka mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Lily Suzana mengesahkan dia selaku wakil penduduk rumah teres berkata bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim agar menarik balik perwartaan Seksyen 8 ke atas rumah teres itu.


"Kami menulis surat kepada menteri supaya menarik balik pewartaan seksyen 8 ke atas rumah teres. Pernah ada precedent dan berlaku ketika zaman (bekas perdana menteri) Najib Razak.


"Kita nak lantik penilai bebas untuk menilaikan hartanah kita untuk buktikan nilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) sangat rendah," katanya kepada Malaysiakini.


Katanya, surat itu ditulis pada 22 Mac lalu.


Tambahnya, mereka berhasrat bekerjasama dengan Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama).


"Kami akan minta Pertama buat nilaian hartanah kita dan membuat kajian impak sosial atas pemilik kesan dari pembangunan semula," katanya.

Sumber : MaIaysiaKini

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top