Baru-baru ini kecoh di media sosial dakwaan yang mengaitkan tertuduh dalam kes penderaan remaja perempuan sindrom down bernama Bella dengan ahli politik.
Tersebar gambar tertuduh, pengasas Rumah Bonda yang menempatkan Bella iaitu Siti Bainun Ahd Razali bersama keluarga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Gambar tersebut menunjukkan Siti Bainun bergambar secara berkumpulan yang turut disertai Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Gara-gara foto yang tular itu, timbul dakwaan bahawa Siti Bainun merupakan anak angkat kepada Ahmad Zahid.
Susulan itu, anak kandung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah menafikan dakwaan tersebut, malah menegaskan bahawa dia sekeluarga juga menentang sekeras-kerasnya pendeeraan ke atas remaja istimewa berusia 13 tahun itu.
Nurulhidayah turut mempersoalkan sumber yang mengaitkan tertuduh dengan keluarganya.
"Buat yang prov0ke dan fitnah. Cukup saya beritahu yang saya dan seluruh ahli keluarga menentang keras kes yang melibatkan pendeeraan ke atas Bella.
"Asal usul cerita yang mengaitkan kami dengan SB (Siti Bainun) pun saya tak pasti dari mana. Saya berdoa agar Allah mengampunkan dosa mereka yang memfiitnah dan menyebarkan fiitnah ini," tulisnya menerusi satu posting di laman Instagramnya pada Sabtu malam.
Menerusi ruangan komen, Nurulhidayah yang juga dikenali sebagai Kak Long menjawab satu pertanyaan netizen mengenai sama ada Siti Bainun merupakan anak angkat kepada bapanya berdasarkan foto yang tular.
"Kalau semua orang yang bergambar dengan abah (panggilan Ahmad Zahid) dan keluarga Kak Long ni ada kena-mengena ke?
"Anak angkat celah mana tu tanya diaorang. Sia-sia je depa (mereka) ni puasa," katanya yang turut ke mahkamah bagi mengikuti kes Bella.
Dalam posting yang berasingan, Nurulhidayah turut membuktikan dirinya juga prihatin dan memperjuangkan nasib Bella sejak tahun lalu.
"Tiada siapa yang akan terlepas daripada undang-undang penderaan dan melindungi kes penderaan.
"Selama saya hidup saya dibesarkan dengan bapa saudara sindrom down (telah meninggal empat tahun lalu). Mereka bukan agresif. Mereka manja. Bella perlu dibela," ujarnya.
Nurulhidayah juga mendedahkan sedutan klip audio yang didakwanya merupakan perbualannya bersama bekas penghuni Rumah Bonda yang mendakwa Bella diberi layanan buruk sehingga terpaksa minum air paip.
Susulan itu, Nurulhidayah menolak dakwaan keluarganya cuba melindungi tertuduh.
"Jadi celah mana kami sekeluarga cover atau back up orang kena tuduh (OKT)?
"Tak masuk akal. Tak pandai tak apa, jangan memandai-mandai," katanya sambil turut bersedia untuk membantu dan bekerjasama membela nasib mereka yang teraniaya.
Mengenai kes Bella, Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Sumber : mStar Online