Baru-baru ini viral satu video di laman tiktok yang telah dikongsikan oleh Mexsimustakasima33 yang telah mendakwa membeli sebungkus mi goreng ketika berkunjung ke gerai Mee Tonggek di Bazar Ramadan Putrajaya.
Namun apa yang mengejutkan, dia menemui beberapa ekor ulat di dalam hidangan itu ketika hendak berbuka puasa pada hari kejadian.
"Assalamualaikum, tadi aku dah call Perbadanan Putrajaya (PPj) dan aku dah masuk website dia. Sebab semalam ada satu kejadian selepas aku pergi kedai paling viral iaitu Mee Tonggek.
"So kau tengok Mee Tonggek ni, viral tau, sebab kau tengok, dia orang ramai pekerja dan ramai pembeli. Portion dia besar-besar tapi disebabkan ramai pekerja, dia smooth la, line tu smooth.
"Portion dia banyak, dan aku beli satu juadah, aku tak nak membazir. Aku minta cili lebih lagi. Kau tengok sotong dia sebesar alam, panas-panas weh tak tipu.
"Pukul 5.20 aku kat sana. Harga RM30. Ada ulat. Kalau RM30 tak sedap aku boleh terima. RM30 kau dapat ulat, nak berbuka puasa.
"Kepada Perbadanan Putrajaya, tolong check kedai, kesian pengguna yang lain... kesian kat budak-budak kalau makan. Nasib baik aku pasang lampu terang. Tengok-tengok ada ulat," ujar pemilik video itu.
Video itu yang dikongsi ke aplikasi TikTok pada Khamis meraih lebih 3.6 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam.
Ekoran tular kes berkenaan, PPj turut mengeluarkan satu kenyataan dan memaklumkan pihaknya sudah mengambil tindakan ke atas gerai tersebut.
"Susulan daripada tular video berhubung keadaan kebersihan makanan di gerai bazar Ramadan Putrajaya, Bahagian Kesihatan Persekitaran Perbadanan Putrajaya telah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan dan gerai Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3.
"Ia termasuk gerai yang terlibat dengan isu kebersihan seperti yang viral di laman sosial media.
"PPj mengeluarkan notis amaran dibawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016 bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih," ujar kenyataan itu.
Dalam pada itu, netizen turut memberikan pandangan masing-masing berkaitan kes tular berkenaan.
Selain menggesa peniaga bazar Ramadan menjaga kebersihan serta mutu makanan, ada yang turut membuat spekulasi kononnya kes tersebut ada kaitan dengan unsur mistik.
"Kadang-kadang masa beli kau tengok semua okey. Lepas balik ada ulat. Sihir kedai pun boleh jadi.
"Kalau dia dah lama berniaga dan tiada masalah, tiba-tiba berulat kali ni... macam pelik pula.
"Macam mana (makanan) panas-panas boleh ada ulat ek?
"Saya rasa ulat tu dalam sotong. Mungkin ulat tu daripada cili jeruk," tulis beberapa netizen.
Sumber : mStar Online