Penyanyi dan komposer, Aina Abdul sudah berjaya 'khatam' tiga album Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi memahami lagu terbaik untuk dicipta dan diberikan kepada penyanyi popular itu.
Aina berkata, walaupun dia adalah salah seorang peminat dan sering mendengar lagu-lagu popular Siti, namun kali ini cabarannya lebih besar.
"Berkenaan lagu Tokti (panggilan Siti) saya belum mulakan lagi sebab jadual saya agak padat sekarang. Apa yang saya lakukan bila ada waktu terluang adalah mendengar lagu-lagu dalam album Tokti. Setakat ini, saya sudah 'khatam' tiga buah album dan masih perlu dengar banyak lagi lagu untuk lebih mengenali Tokti.
"Bukan bermaksud saya tidak tahu Tokti, sudah tentu saya mengidolakan beliau sejak kecil, tapi dulu sekadar dengar dan menyanyi. Saya mendengar sebagai seorang peminat," katanya.
Menurut Aina, sebelum menghasilkan lagu kepada penyanyi lain dia kebiasaannya akan mengenali lagu dan kemampuan penyanyi itu terlebih dahulu.
"Saya akan mendengar untuk mengetahui 'vocal range' dan jenis melodi. Jadi itu yang ambil masa sedikit untuk kenali dengan lebih rapat melalui album beliau.
"Itu cara saya termasuk untuk artis lain. Jadi untuk hasilkan lagu kepada Tokti ada banyak lagi album nak kena khatam," katanya.
Terdahulu, hasrat Siti untuk merakamkan lagu ciptaan Aina yang juga komposer akhirnya menjadi kenyataan.
Siti memberitahu, dia terharu ketika Aina menyatakan persetujuan untuk memberikannya sebuah lagu bagi dimuatkan dalam album terbaharu yang kini masih dalam proses pembikinan.
Sumber : Harian Metro