Pelakon, Ruhainies menyifatkan permohonan maaf yang dibuat rakan artis, Zul Ariffin susulan video 'teaser' babak panas yang tular baru-baru ini sebagai jalan terbaik bagi menjernihkan keadaan.
Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, Zul seorang pelakon profesional dan sudah pasti dia mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku.
"Sebagai antara rakan artis yang rapat, saya tak mahu komen lebih sebab bimbang nanti ia akan disalahertikan. Cuma tidak dinafikan, saya antara yang ditanya media dan peminat mengenai isu berkenaan.
"Apa pun, orang ramai boleh bercakap macam-macam. Siapa yang mengenali Zul secara dekat, pasti tahu dia bagaimana orangnya. Di luar set (lakonan) dia bukanlah seperti apa yang digambarkan segelintir pihak. "Dia juga sahabat yang sangat baik dan tidak lokek berkongsi ilmu dalam bidang lakonan. Dia juga melayan baik semua orang. Jadi, ini pun salah satu sebab saya senang berkawan dengan Zul," katanya. Menurut Ruhainies, tidak adil jika hanya tuding kesilapan kepada satu pihak saja.
"Zul sendiri sudah pun memohon maaf atas apa yang berlaku. Bukan bermaksud nak 'back up' kerana yang salah tetap salah. Cuma setiap manusia pasti tak boleh lari dari melakukan kesilapan. Harap semua dapat memaafkan dia.
"Saya percaya, Zul selepas ini akan lebih berhati-hati dan fikir panjang untuk menerima mana-mana tawaran selepas ini. Lebih baik untuk kita sebarkan apa yang positif dan ambil iktibar daripada apa yang telah berlaku," katanya.
Ruhainies dan Zul sebelum ini pernah bergandingan menerusi drama bersiri, Wifi Sebelah Rumah yang bersiaran di Disney+ HotStar dan Akasia di TV3 Jun tahun lalu.
Sumber : Harian Metro