Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyeru pelajar yang berhadapan dengan sebarang masalah untuk berhubung dengan fakulti dan universiti bagi mendapatkan khidmat nasihat serta bantuan sewajarnya.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, universiti amat prihatin dengan keperluan pelajar terutamanya dalam pembelajaran norma baharu susulan Covid-19.
Katanya, UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.
Beliau berkata, kewujudan UiTM adalah untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan meneruskan pembelajaran di peringkat universiti dan sewajarnya UiTM membantu golongan B40, justeru segala kemudahan pembiayaan melalui dana-dana tertentu disediakan.
"UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian.
"Pihak universiti juga sudah menyediakan pelbagai dana untuk kegunaan pelajar yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan kemudahan pembelajaran seperti dana amanah pelajar, bantuan pusat zakat serta pihak alumni.
"Justeru, saya menyeru kepada pelajar yang berhadapan masalah agar dapat berhubung dengan pihak fakulti dan universiti untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu melancarkan proses pembelajaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam merealisasikan keberkesanan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang terbaik, semua pihak perlu berganding bahu daripada semua aspek.
Dalam pada itu, Roziah berkata, susulan penularan video di media sosial membabitkan tindakan seorang pensyarah yang mengeluarkan komen sensitif, pihak universiti sudah meneliti serta mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.
"UiTM juga bertegas tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik universiti dengan sengaja mahupun tidak," katanya.
Terdahulu, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat yang memaparkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan dilihat seolah-olah memperlekehkan golongan B40.
Menerusi rakaman itu, pensyarah wanita berkenaan turut meminta pelajar itu menyuruh kakaknya menjual gelang emas dan membeli komputer riba.
Sumber : Harian Metro