"Siapa nak memegang status janda? Saya akui masih ada rasa malu untuk memegang status itu. Suka atau bangga itu tidak, saya cuma reda."
Itu kata pelakon, Nadia Brian, 30, mengenai status dan kehidupannya selepas bercerai pada April tahun lalu.
Selepas melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang mendirikan rumah tangga, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi menjadikan pengalaman lalu sebagai proses mematangkan dirinya.
Mengakui belum bertemu pengganti, fokusnya kini lebih kepada kerjaya dan keluarga, namun tidak trauma untuk kembali mendirikan rumah tangga.
"Saya masih 'single' dan kini saya lebih fokus kepada keluarga dan kerjaya. Tipulah jika saya katakan tiada kerana saya ada berkawan untuk mengenali hati budi.
"Mungkin jika berkahwin dua atau tiga tahun lagi, tapi sekiranya jodoh datang lebih awal saya tak tolak. Saya tidak trauma untuk berkahwin, cuma itu bukan keutamaan buat masa ini.
"Kita sudah masuk tahun 2022, saya berharap tiada lagi diskriminasi terhadap wanita berstatus janda. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga individu itu, malah kita juga tidak tahu masa depan kita sendiri," katanya.
Menurutnya, pengalaman lalu banyak mematangkannya dan berharap dapat memperbaiki diri ke arah lebih baik untuk masa hadapan.
Nadia berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Kuasa kerjasama Astro Shaw dan Skop Productions Sdn Bhd.
Kuasa mengisahkan mengenai kehidupan keluarga penerbit terkemuka yang amat berpengaruh dan hidup dalam kemegahan.
Setiap ahli keluarga mempunyai agenda masing-masing dalam menguasai empayar.
Selain Nadia, drama terbabit turut membariskan pelakon hebat seperti Ning Baizura, Ridzuan Hashim, Nazim Othman, Dazrin Kamaruddin, Alicia Amin, Nia Atasha dan Izzy Reef.
Sumber : Harian Metro