Penerbit dan pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin berpendapat siasatan yang dijalankan terhadap pelakon popular, Zul Ariffin di bawah Sesyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berhubung isu babak panas dalam drama membabitkan pelakon Zul Ariffin dan Siti Hafiesa yang tular, baru-baru ini, adalah wajar.
Shahrulezad ketika dihubungi berkata, ketika ini setiap orang mahu tahu apa motivasi yang Zul mahu melakukan dalam perkongsian video itu.
"Bagi saya tiada masalah untuk disiasat kerana kami semua pun nak tahu apa tujuan dia berbuat demikian. Selain itu, nak tahu juga kenapa dia ada 'access' sehingga boleh memiliki klip berkenaan dan kongsinya di media sosial.
"Kalau dilihat video itu dibuat dalam skala yang mega dan terdapat babak yang cantik menggunakan 'drone'. Ini bukan klip menggunakan telefon bimbit. Jika apa yang dikongsikan Zul adalah untuk tujuan publisiti, apa tujuan sebenar dia berbuat demikian sedangkan dia akan menanggung akibatnya.
"Apapun biarlah siasatan terperinci dilakukan terlebih dahulu. Namun dalam masa sama, setiap orang termasuk pengkarya, penerbit, pengarah dan stesen TV harus mengambil iktibar agar kejadian seumpama ini tidak berulang," katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Shahrulezad turut merasakan isu terbabit tidak perlu diperbesar-besarkan.
Katanya, dia tidak menafikan segelintir pihak akan menganggapnya agak keterlaluan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.
"Dalam situasi ini susah untuk saya komen lebih-lebih kerana mungkin di mata penggiat seni babak yang dilakonkan tiada apa pun, tapi di mata orang lain adalah satu kesalahan.
"Setiap orang memiliki kefahaman nilai hidup yang berbeza. Contohnya sesetengah orang berpendapat kalau babak berpegangan tangan antara lelaki dan wanita tiada masalah, tapi ada juga yang mengatakan ia adalah satu kesalahan walaupun babak bersalaman antara ibu dan anak sebab bukan mahram.
"Dalam isu yang berlaku sekarang ia bergantung kepada persepsi dan penerimaan masing-masing. Cuma saya akui bagi sesetengah orang mereka melihat apa yang dilakukan itu adalah keterlaluan.
"Apapun setiap karya yang dilakukan masih perlu melalui dan mengikut garis panduan yang ditetapkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) terlebih dahulu. Sebagai penggiat drama, kami juga tidak boleh sewenang-wenangnya buat karya yang melanggar etika yang ditetapkan," katanya.
Menurut Shahrulezad, setiap pengkarya perlu memastikan setiap naskhah yang diterbitkan sesuai untuk tontonan umum dan boleh diterima setiap lapisan masyarakat.
"Setiap orang mempunyai pegangan agama dan budaya yang berbeza. Penerimaan penonton di Bangsar, Kuala Lumpur tak sama dengan penonton di Kodiang, Kedah. Pemahaman setiap orang itu berbeza-beza.
"Jadi, setiap karya yang dihasilkan perlu bersesuaian dan boleh diterima segenap lapisan masyarakat di negara ini.
"Kalau nak cerita mengenai halal dan haram, wanita yang menyanyi pun haram. Namun, ada juga yang cakap kenapa pula haram sedangkan kita tidak terangsang dengan nyanyiannya. Jadi, perkara sebegini sukar untuk saya jawab dan jelaskan. Ini kerana, masyarakat Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza-beza," katanya.
Sumber : Harian Metro