Penafian : Gambar yang digunakan hanya sekadar hiasan
Peniaga dijatuhi hukuman denda RM4,000 di Mahkamah Siber, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu selepas Khor Ooi Heong, 42, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan menjual Android TV Box yang tidak diperakui SKMM.
Mahkamah memerintahkan Khor dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Khor didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu tiga unit Android TVBox jenama Tian Mau yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di Menara Uncang Emas di sini, jam 11.40 pagi, pada 9 Julai 2020.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan 16 (1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Khor yang tidak diwakili peguam dalam rayuan pengurangan hukuman menjelaskan syarikat miliknya Wellbao Trading yang melakukan perniagaan itu sudah ditutup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Saya juga memohon agar mahkamah mempertimbangkan rayuan saya kerana anak pertama saya saakit kaanser, selalu kena pergi hospital.
"Isteri saya tidak kerja perlu menjaga dua anak kami. Hanya saya seorang bekerja.
"Saya sudah mengaku salah dan sekarang saya tak menjual lagi. Saya sudah berikan kerjasama kepada pihak siasatan semasa menyelesaikan kes ini. Saya merayu denda yang rendah," katanya.
Pegawai Pendakwa SKMM, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim pula berkata, dalam menjatuhkan hukuman terhadap OKS sewajarnya mempertimbangkan faktor kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.
"Diharap ada pengajaran setimpal untuk tiada lagi kesalahan sama diulangi.
"Saya juga membuat permohonan lucut hak bagi tiga unit barang kes untuk pelupusan," katanya sambil menjelaskan OKS tiada rekod sabitan lampau.
Sumber : Harian Metro