Pengacara, pelakon dan selebriti usahawan terkemuka tanah air, Noor Neelofa, 34, mengakui menerima permintaan daripada peminat dan pengikut yang berharap agar pintu hatinya terbuka untuk berkongsi gambar putera sulungnya, Muhammad Bilal kepada umum.
Menurut Neelofa, dia memahami keterujaan ramai tentang perkara tersebut, namun tidak menolak, ada kala pertanyaan demi pertanyaan itu membuatkan dirinya berasa sedikit tertekan apatah lagi setiap hari menerima permintaan sama.
“Saya pun tak boleh nak cakap pada masa depan nanti bagaimana. Lagi pula dengan zaman media sosial sekarang, trend dan sebagainya, nak kata saya ada ketetapan jawapan untuk itu pun tak ada.
“Buat masa sekarang, saya nak cuba untuk tidak meletakkan anak saya di bawah ‘limelights’ itu. Rasanya ini yang terbaik. Saya juga tak menolak, hari-hari ditanya ramai, bila nak tunjuk wajah anak dan ia membuatkan saya sedikit tertekanlah juga,” katanya.
Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Waqaf Al-Quran dan Usrah Ajaibnya Berwakaf yang diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini, hari ini.
Turut hadir ke majlis kerjasama antara Pertubuhan Kasih Neelofa dan Yayasan Restu tersebut ialah penceramah jemputan, Ustazah Asni Mansor dan Ustazah Aishah Ba’in.
Selain itu, Neelofa menambah, dia juga tidak berupaya untuk memberikan keyakinan selama mana akan berpegang kepada keputusan tersebut namun mengaku sedang cuba melakukan apa yang terdaya dalam peranan seorang ibu.
“Keputusan ini dibuat secara bersama dengan suami saya. ‘Malangnya’, Bilal mempunyai ibu dan ayah yang terlibat dalam dunia yang sama walau arahnya berbeza. Saya di bidang seni manakala ayahnya pula lebih kepada bidang keagamaan.
“Mungkin perhatian dan keinginan orang untuk melihat dan nak tahu itu lebih.Tapi, kita cuba elak daripada penyaklt ain sebab kita tak tahu bukan…Tapi, nak cakap saya tak buat langsung itu pun belum pasti,” katanya.
Dalam pada masa sama, Neelofa juga cuba mengelakkan keluarganya daripada anasir-anasir tidak baik terutama anaknya yang masih kecil.
“Saya pun mungkin tak cukup kuat untuk buat amalan-amalan yang menghindari penyakit tersebut, namun sedang mencuba. Tak berani janji yang diri akan jadi sempurna untuk melindungi anak daripada penyaakit ain ini.
“Nauzubillah, kalau terkena pada budak-budak, mak ayah yang akan pening kepala nanti. Jadi, kita ambil jalan selamat. Kalau mereka itu tidak terlibat dengan dunia hiburan dan tidak dikenali, mungkin lebih senang,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perjalanannya sebagai seorang ibu, setakat ini katanya dia bersyukur diberi nikmat untuk merasai fasa sebagai ibu walau sedar setiap wanita bergelar ibu itu akan melalui pengalaman yang berbeza-beza.
“Saya rasa semua ibu pun pasti akan rasa benda yang sama cuma pengalamannya yang berbeza-beza. Saya pun tentu ada cabaran tersendiri yang dilalui namun pada masa yang sama, perasaan kusut dan tertekan itu seringkali mudah terubat apabila menatap wajah Bilal,”katanya. –UTUSAN ONLINE
Sumber : Utusan OnIine