Berlakon Dengan Zul Ariffin, Siapa Yang Tak Nak, Kata Nina Smith

encik gotenks
0

 


nama pelakon Nina Smith tiba-tiba menarik perhatian ramai gara-gara tindakan beraninya menarik diri di saat akhir dari pengambaran drama Bunga Hati terbitan Zeel Production pada Disember, tahun lalu.


Tindakan wanita berusia 23 tahun ini bagaimanapun mendapat teguran lantang pelakon berkaliber, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy yang bengang sehingga insiden di antara mereka itu hangat diperkatakan netizen di media sosial.


Nina atau nama sebenarnya, Amalina Smith ditemui baru-baru ini, berkata dia menganggap perkara yang berlaku antaranya dan Ogy itu sudah berlalu dan tidak perlu terus dikenang lagi. Ditambah, dia bertindak ketika itu dengan alasan kukuh.


"Insiden berkenaan bagi saya sudah selesai. Sekarang fokus saya tertumpu semula kepada karier lakonan dan alhamdulillah, rezeki berlakon diterima pun semakin banyak. Saya gembira dan kini perlu bersungguh-sungguh membuktikan bakat.


"Saya juga tidak kesal dengan apa yang sudah berlaku itu kerana saya bukanlah pelakon bermasalah. Selama beberapa tahun aktif berlakon ini, saya memang tiada membuat masalah di lokasi termasuk kepada pihak produksi tanpa sebab penting.

"Cuma, insiden pada hujung tahun lalu itu, saya tidak boleh elak kerana membabitkan kesihatan dan nyawa bapa saya. Apatah lagi, sudah juga lama saya tidak balik ke Amerika Syarikat (USA) bertemu dengan bapa dan tiba-tiba dapat tahu dia diserang angin ahmar yang teruk.



"Saya percaya, sesiapa yang ada ditempat saya pasti mengambil tindakan sama. Lagipun, saya anak tunggal daripada perkahwinan bapa dan ibu saya sebelum mereka berpisah. Jadi, takkan nak lepas tangan terhadap bapa saya sendiri disaat dia memang tengah sakit," katanya.


Nina berkata, biarpun pada mulanya dia dikecam hebat oleh netizen, yang pasti pengarah dan penerbit tahu cerita sebenar. Oleh itu, dengan apa yang sudah berlaku juga membawa hikmah kepadanya dan dia amat bersyukur.


Ditanya juga mengenai kerjaya lakonannya, Nina yang pernah menyertai program Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) anjuran TV3 sebelum ini berkata, dia serius untuk menceburi karier seni. Katanya, atas sebab itu dia sentiasa terbuka mencari peluang.


"Setakat ini, saya sudah terbabit dalam enam drama dan rata-rata watak dilakonkan sebagai antagonis. Saya pun tak tahu, kenapa sering jadi pilihan untuk watak 'jahat'. Apapun, sebagai pelakon sudah tentu ini cabaran buat saya.


"Lagipun, saya hendak memilih watak dalam keadaan industri sekarang pun tidak sesuai. Selain masih baharu dan kurang pengalaman, saya juga belum berpeluang meneroka lebih banyak watak dan ia perlukan waktu.


"Jadi, tidak ada gunanya jika saya bersikap terlalu memilih. Walaupun masih melakonkan watak antagonis, ia sebenarnya bukan mudah. Saya kena bijak dalam mempelbagaikannya dan mencabar juga. Apa-apapun, saya kena berani dan lebih berusaha," katanya.


Menurut Nina, meskipun sering disogok watak 'hampir sama' untuk dilakonkan dia tetap okey. Katanya, mungkin juga kerana dia tinggi lampai dan memiliki raut wajah 'nakal' maka watak antagonis agak sesuai untuk dilakonkannya sebaik mungkin.



Ditanya juga kesudiannya jika mendapat peluang berlakon disamping aktor sensasi Zul Ariffin, tanpa berselindung Nina mengakui dia tidak akan menolak. Katanya, mungkin dia akan terima sekiranya watak diberikan sesuai.


"Berlakon dengan Zul, siapa yang tak mahu. Cuma, saya akan pastikan tawaran wataknya sesuai. Malah, saya juga akan berbincang dengan pengarah untuk sesuatu babak itu sebelum dibuat. Saya tak nak nanti boleh timbul kontroversi.


"Dalam hal ini (babak), sebagai sesama pelakon dan pengarah memang perlu berbincang. Mana yang boleh dan okey, kita buat. Namun, sebaliknya itu kenalah kreatif. Apapun, saya kalau boleh tak mahu terus dipalit kontroversi dengan mudah," katanya.


Ujar Nina, benda yang boleh dielak, kita elaklah. Katanya, apabila sudah tercetus kontroversi seperti baru-baru ini, banyak pihak terbabit. Menurutnya lagi, dia juga belajar daripada pengalaman sendiri yang turut membawa kesan.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top