Beribu ekor ikan pias dibuang nelayan

encik gotenks
0

 


Jabatan Perikanan Melaka mengesahkan punca beribu-ribu bangkai ikan pias terdampar di gigi pantai Sungai Tuang dan Telok Gong, dekat sini bukan kerana pencemaran laut.


Sebaliknya, ia dipercayai berpunca daripada tindakan nelayan membuang ikan berkenaan ke laut selepas pukat mereka terkena ikan itu dalam jumlah yang terlalu banyak, sedangkan ia tidak mempunyai nilai di pasaran.


Pengarahnya, Mohd Fauzi Salehon berkata, analisis pegawai jabatan itu terhadap contoh bangkai ikan yang diambil dari pantai berkenaan kelmarin, mendapati tiada kesan minyak ditemukan.


"Semua bangkai ikan yang ditemukan di pantai itu dalam keadaan mulut terbuka dipercayai akibat tersangkut pada pukat nelayan.



"Oleh sebab ikan itu terlalu banyak sangkut pada pukat, nelayan terpaksa membuangnya ke laut sebelum dibawa ombak ke gigi pantai," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, ikan pias tidak mempunyai nilai di pasaran kerana mempunyai tulang yang banyak dan menyukarkan pengguna memakannya.


Selain itu, katanya, rasanya yang tidak enak menyebabkan ia tidak menjadi antara ikan pilihan.


Beliau berkata, ikan berkenaan dipercayai dibuang ke laut sekurang-kurangnya satu atau dua minggu lalu dan menyebabkan ia berbau busuk apabila terdampar di gigi pantai.



Sementara itu, tinjauan wartawan di lokasi kejadian hari ini mendapati jumlah bangkai ikan semakin berkurangan selepas dibawa ombak besar ke tengah laut.


Dalam kejadian petang kelmarin, beribu-ribu bangkai ikan pias ditemukan terdampar di gigi pantai, membabitkan kawasan sepanjang dua kilometer dari Sungai Tuang hingga Telok Gong.


Ia menyebabkan kawasan berkenaan dicemari bau busuk, sekali gus menyebabkan orang ramai tidak mandi-manda di pantai.

Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top