Tidak dapat tahan sebak, air mata Dolla tumpah pertama kali jumpa peminat sejak jadi artis

encik gotenks
0

 


KUMPULAN vokal wanita tempatan yang kian menempa nama, Dolla terus mengorak langkah dalam industri muzik tempatan apabila muncul dengan single terbaharu berjudul Bad.


Karya yang diterbitkan oleh pemuzik Sweden, Ludwig Lindell dan Karl-Oskar 'Cage' ini juga ditulis dan dicipta dalam bahasa Malaysia dan Inggeris oleh Ludwig Lindell, Karl-Oskar 'Cage', Gummesson serta bintang hip hop tempatan, Yonnyboii.


Selepas satu jam dilancarkan baru-baru ini, single Bad juga berjaya meraih 100,000 tontonan di YouTube dan juga berjaya menduduki tangga pertama dalam carta trending di YouTube 24 jam selepas ditayangkan.


Ia sekali gus membuktikan 'band girl' yang dianggotai oleh Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby itu mempunyai pengaruh tersendiri.


Syasya mewakili Dolla berkata, single Bad itu mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita.



"Seperti lagu Dolla sebelum ini, Bad juga mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita. Ada yang mungkin akan menganggapnya sebagai lagu patah hati selepas tidak dilayan dengan baik oleh pasangan masing-masing dan ada juga yang mungkin menujukan lagu ini kepada pasangan atau teman yang tidak pernah memberikan sokongan positif malah, meragui diri mereka.


"Terdapat bait lirik lagu ini yang berbunyi 'You never met a woman just like me, you'll see', kau takkan pernah agak' yang mana ia boleh diinterpretasikan dengan pelbagai cara.


"Bagaimanapun, isi lagu ini mengenai seseorang yang sudah dikecewakan berkali-kali dan akhirnya tidak mahu lagi menerima kepahitan itu hingga memilih untuk menyerlahkan sisi gelap mereka yang berbeza," katanya.


Menurut Syasya, lagu itu juga adalah perubahan buat Dolla.


"Jika lagu sebelum ini menunjukkan sisi kami yang lebih lembut, menerusi single Bad ini pula mencerminkan Dolla yang sudah matang dan siap untuk menghadapi dunia," katanya.


Berkongsi mengenai video muzik single Bad, Sabronzo berkata ia disiapkan dalam tempoh dua hari.



"Ini satu usaha yang berbaloi. Dengan seni tari hebat bersama penari kami serta banyak tangkapan visual yang menarik, video muzik ini benar-benar menunjukkan tenaga positif yang dihasilkan sepanjang penggambaran," katanya.


Bagi Tabby pula, proses yang diambil itu turut memberikan cabaran tersendiri buat mereka.


"Pada masa sama, kami terpaksa melakukan banyak sesi latihan untuk mendapatkan keseimbangan vokal dan tarian. Nasib baik cikgu Shafi dan Ezra banyak membantu untuk menonjolkan yang terbaik daripada kami. Malah, kami agak bangga dengan hasilnya selepas memberikan sedaya upaya kami," katanya.


Sementara itu, Angel berharap single terbaharu dan video muzik lagu itu dapat diterima baik pencinta muzik tanah air.


"Saya harap semua orang akan menyukai kemunculan lagu ini selepas kami berehat seketika. Kami sudah mempersiapkan lagu ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Selepas penat berusaha, kami harap peminat akan menyukai pesona terbaharu kami ini," katanya.


Single Bad kini sudah berada di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 11 Februari lalu serentak dengan video muzik rasmi.


Sumber : Harian Metro

Tags

Post a Comment

0 Comments
Post a Comment (0)
To Top