Menukar sawah menjadi kebun. Itu antara inisiatif petani Bangladesh yang menyewa tanah sawah dengan kadar sewa RM4,000 hingga RM 4,500 semusim di sekitar Sekinchan, Tanjong Karang, Selangor. Sawah seluas 12 hektar tersebut diubah kepada kebun tanaman kontan.
Menurut Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Azman Mahmood, ia telah menjadi trend mereka sejak 2 tahun lalu.
Ubah Sawah Jadi Kebun Timbulkan Masalah
Namun, ini menimbulkan rasa kurang senang sebahagian besar pesawah kerana tanaman mereka diganggu makhluk perosak dari kebun berhampiran.
Aktiviti kebun yang dijalankan juga mengakibatkan saliran air untuk sawah tersekat dan perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Keadaan ini menyebabkan hasil bendang terjejas sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pesawah.
Sewa Murah, Penghasilan Berganda-Ganda
Azman memaklumkan bahawa, “Kadar sewa adalah antara RM4,000 hingga RM4,500 untuk semusim. Bermakna dalam setahun, mereka bayar dua kali namun ia boleh memberikan hasil berkali ganda,”
Antara tanaman lain yang diusahakan termasuklah peria, timun, kacang, bendi, keladi, jagung dan sayuran lain.
Ia kemudian dijual kepada peraih termasuk daripada Bangladesh sendiri yang turut mengambil stok sayuran yang ditanam golongan itu.
“Kita dapati, mereka ini menggunakan saluran sama dengan penanam sayur di Cameron Highlands.
“Mereka sudah mula membekalkan sayur untuk pasaran Lembah Klang.
“Tak mustahil jika tidak dibendung, ia akan menjadi Cameron Higlands kedua,” katanya lagi.
“Rantaian perniagaan yang akan digunakan sama seperti di Cameron Highlands, tapi mereka kini boleh jadikan Lembah Klang sebagai hub bekalan,” ujar Azman lagi.
“Kita mahu ia dikembalikan kepada sawah semula dan diusahakan sebaiknya.
Warga Bangladesh Makin ‘Besar Kepala’, Mohon Peruntukan Baja, Racun Dari Kerajaan
“Kita juga dapat rungutan daripada petani bahawa ada antara Bangladesh ini sudah ‘besar kepala’ dengan memohon peruntukan baja dan racun yang disediakan kerajaan,” katanya.
Wakil pesawah bernama Ghazali yang ditemui wartawan berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah warga Bangladesh ini bertindak seolah-olah cacing naik ke mata.
“Mereka datang meminta racun dan baja yang diuruskan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), bertanya seolah-olah itu hak mereka.
“Sedangkan mereka pendatang dan yang patut berurusan adalah pemilik sawah yang mempunyai rekod dengan PPK.
“Apa yang berlaku, mereka sudah mula tunjuk taring, meminta bantuan termasuk baja tambahan. Ini menimbulkan suasana tidak harmoni,” katanya ketika ditemui.
Pesawah Hilang Sabar
Ghazali berkata, sebelum ini dia dan rakan-rakan petani lain bersabar dengan kerenah warga Bangladesh di situ.
“Ketika sawah tidak memerlukan air, mereka buka palong untuk kegunaan kebun. Bila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tutup, mereka buka.
“Perkara ini berlaku beberapa kali sehinggakan menimbulkan masalah kepada petani,”
Tinjauan mendapati warga Bangladesh dilihat mengusahakan kebun di situ sejak awal pagi.
Rata-rata mereka berada di kebun yang diusahakan sehingga tengah hari sebelum beredar. Dapat dilihat juga hasil kebun yang diangkut keluar dari kawasan sawah diserahkan kepada peraih untuk dijual di tempat lain.
Cadangan Penyelesaian
Menurut Azman, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama agensi berwajib untuk mencari jalan penyelesaian dan dalam pada masa membantu petani yang memerlukan tenaga kerja.
“Ini isu yang besar kerana ia akan menjadi aktiviti ekonomi, tapi dikawal orang asing.
“Perlu satu pendekatan bersama antara semua pihak terbabit supaya agenda agronomi ini diusahakan dan dinikmati oleh orang tempatan,”
“Perkara ini juga sudah dibangkitkan di Parlimen semalam dan saya harap ada kaedah yang diperkenalkan untuk membantu petani di seluruh negara,” katanya semalam.
Susulan isu ini, Pertubuhan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) tidak duduk diam. Mereka menggesa agar cegah isu ini sebelum sawah padi ‘ditawan warga asing’.
Pengerusinya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, wujud kemungkinan sawah padi yang asalnya disewa kepada warga asing ini dijual terus selain mengehadkan peluang anak tempatan menceburi bidang pertanian.
“Awalnya memang mereka menyewa dan hanya ambil upah mengusahakan sawah.
“Tetapi lama-kelamaan, mereka akan minta beli untuk memudahkan kerja dengan alasan lebih baik dijual daripada terbiar. Di situ, kita secara perlahan-lahan akan kehilangan hak,”
Warga Asing Mudah Dapat Tempat Di Sektor Lain
Beliau juga menyatakan bahawa trend sama juga digunakan di dalam industri lain di negara ini yang membolehkan warga asing seperti Bangladesh dan Rohingya mendapat tempat dengan mudah.
Katanya, keperluan tenaga buruh asing untuk pertanian memang ada namun pemilikan sawah secara total dibimbangi menimbulkan isu lain yang tidak terkawal.
“Kita tahu antara masalahnya adalah pemilik sawah berumur, ada yang uzur manakala anak lebih selesa bekerja di bidang lain.
Bentuk Gabungan Atasi Masalah
“Justeru Amal Sejagat mencadangkan satu gabungan dibentuk bagi mengatasi masalah ini.
“Jangan sampai pelbagai insentif disediakan kerajaan dimanfaatkan warga asing,” katanya.
Selain isu sawah ini, aduan tentang isu warga asing pelopori beberapa sector ekonomi lain turut diterima oleh Biro Keusahawanan dan Sosioekonomi Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM).
Pengerusinya, Mohd Afiq Salim berkata, mereka bimbang dengan senario penguasaan warga asing dalam pelbagai sector tanpa sekatan yang semakin parah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Demikian kebimbangan yang diutarakan ramai pihak.
Pada sisi lain, wajar kita berfikir mengapa golongan warga asing tersebut begitu bersungguh-sungguh bekerja, menggunakan segenap peluang yang ada di depan mata, tidak sambil lewa sehingga mengaut untung berkali ganda, begitu berinisiatif dalam merancang ekonomi?
Mungkinkah ada input lain yang layak diambil daripada kesungguhan mereka?
Apa pun, semoga isu ini dapat diselesaikan dengan segera agar tiada warga asing yang semakin ‘naik tocang’, ‘diberi betis mahu peha’ dan warga tempatan hilang hak di bumi sendiri.
Sumber : Harian Metro