ANUGERAH Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) sudah melabuhkan tirainya dan menyaksikan pelakon, pengacara dan penyanyi, Janna Nick diumumkan sebagai pemenang anugerah utama, Bintang Paling Popular.
Berjaya meraih jumlah undian keseluruhan sebanyak 86,374,777, itu sekali gus membuktikan bahawa Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner memiliki kumpulan peminat setia yang benar-benar menyokong kerjaya seninya.
"Saya sangat terkejut apabila mendapat tahu mengenai jumlah undian yang saya terima. Perkataan pertama yang keluar dari mulut saya adalah, 'Astaghfirullahalazim' sebab angka itu sangat banyak," katanya.
Dalam pada mengucapkan syukur dan berkongsi rasa gembira atas kemenangan itu, Janna juga tidak mampu menolak sekiranya kemenangan itu adalah usaha keras dan tiupan semangat daripada peminat-peminatnya.
"Saya yakin, mereka merasakan kesedihan dan kekecewaan yang saya rasa. Saya rasa, mereka 'balas dendam' dan ini mungkin juga luahan mereka untuk buatkan saya tidak berputus asa," katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan karier dan namanya sepanjang tahun ini, Janna menggambarkan tahun 2021 sebagai tahun yang suram buatnya.
"Tahun ini adalah tahun yang paling suram. Namun, dalam pada saya hampir berputus asa, saya tak pernah menjangkakan bahawa ia akan diakhiri dengan satu kegembiraan serta rezeki.
"Di dalam setiap kepayahan dan kekecewaan, mesti akan ada sinar," katanya.
Janna juga mengakui kesal dengan apa yang berlaku membabitkan namanya yang kerap kali terpalit dengan kontroversi sebelum ini.
"Saya nak gunakan platform yang saya ada untuk menginspirasikan lebih ramai orang. Saya nak sebarkan perkara-perkara positif. Nak buang Janna yang dulu, yang selalu terpalit kontroversi.
"Saya rasa sangat terbeban dengan Janna Nick yang dulu. Bukan mudah untuk menjadi selebriti dan gelaran sebagai orang yang paling popular ini pada masa sama menak0tkan saya," katanya.
Tambah Janna, sebelum ini dia tidak jujur dengan diri sendiri dan sekadar berpura-pura untuk menampakkan bahawa dia seorang yang gembira.
"Sangat sukar menjadi seorang Janna Nick. Selama ini, saya tak menjadi diri sendiri. Saya banyak berpura-pura menunjukkan saya seorang yang 'happy go lucky' dan seperti tak ada masalah.
"Tapi, sebenarnya saya bukan orang yang begitu. Bila saya sudah memberitahu orang ramai saya ada penyakiit bip0Iar, rasa sangat tenang dapat luahkan segala-galanya," katanya.
Berkongsi nasihat mengenai kesihatan mental, Janna menasihatkan peminat-peminatnya supaya tidak melihat masalah mental sebagai sesuatu yang perlu dipendam.
"Andai kata anda rasa ada yang tak kena dengan kesihatan mental sendiri, dapatkan ubat dan nasihat pakar kerana saakit mental juga adalah sejenis penyaakit," katanya.
Bakal memperlahankan karier lakonan, Janna kini mula berjinak-jinak dalam dunia pengarahan dan penerbitan.
"Saya dah rancang untuk memperlahankan aktiviti lakonan sebab saya dah jatuh cinta dengan kerja-kerja belakang tabir seperti pengarahan dan penerbitan.
"Bukan sekadar suka-suka, saya memang begitu ghaairah sekali dengan kerja-kerja belakang tabir ini. Saya ingin teroka lebih mendalam lagi dan ia adalah cabaran baru buat diri saya," katanya.
Selain bergelar Bintang Paling Popular di ABPBH34, Janna juga menggondol dua lagi anugerah iaitu Pengacara TV Popular dan juga Pelakon Filem Wanita Popular.
Atas kemenangan itu, Janna berjaya membawa pulang hadiah utama, sebuah kereta Nissan Navara berserta trofi ABPBH34.
ABPBH34 berlangsung pada Sabtu lalu bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan diacarakan oleh pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad.
Acara itu juga turut diserikan dengan persembahan mantap oleh beberapa penyanyi hebat tanah air antaranya Fauziah Latiff, Wani Kayrie, Ella, Kaka Azraff, Aina Abdul, Anuar Zain, Syamel dan ramai lagi.
Sumber : Harian Metro