Kumpulan Dolla mengecapi kejayaan sulung mereka pada Anugerah Bintang Popular BH 34 (ABPBH 34) apabila meraih anugerah dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular menewaskan empat calon lain.
Kumpulan yang dianggotai oleh Syasya, Sabronzo, Angel dan Tabby yang baru berusia dua tahun dalam industri mengakui terkejut dengan kejayaan mereka.
"Tak sangka kami akan menang kerana semua yang tercalon sama hebat dan layak menang. Kali pertama masuk bertanding, kami sudah beroleh kemenangan dan ia sangat membanggakan.
"Kemenangan ini berkat sokongan semua pihak. Kami terus akan hasilkan lagu menarik kepada peminat selepas ini," kata mereka.
Dolla dikenali menerusi konsep lagu bertema memperkasa wanita seperti Impikan dan Berani.
Malam Kemuncak ABPBH 34 bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Sumber : Harian Metro