Penyanyi rock, Bandi Amuk, 57, tidak menolak, kemungkinan besar akan membuka dan tidak lagi memakai topeng meski sedar ia sudah sebati atau sinonim dengan dirinya sejak 23 tahun lalu.
Perkara itu diakui Bandi atau nama sebenarnya, Nasabandi Jumat, yang sebenarnya sudah dipertimbangkan olehnya atas beberapa faktor sebelum ini.
“Bukan berjanji, tetapi InsyaAllah, seandainya saya berjaya mara ke peringkat akhir atau berada di tangga teratas dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8), kemungkinan saya akan buka topeng.
“Sebenarnya, ada yang pernah tahu siapa saya. Sebelum ini pun pernah buka topeng, cuma tidak untuk program-program siaran langsung atau depan umum. Tapi, jika ada rezeki Allah SWT kurniakan saya untuk mara ke peringkat akhir GV8, InsyaAllah saya akan buka.
“Tak nak terlalu berharap jadi juara. Kalau ada, kira bonus. Dalam umur begini, saya akui banyak benda yang menyekat diri dan karier untuk berkembang,”katanya.
Bandi berkata demikian semasa ditemui selepas berlangsungnya program GV8 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Jelas Bandi, secara peribadi, dia amat sayangkan karakter bertopeng yang sebati dengan dirinya ini namun perlu bersikap lebih realistik jika mahu membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya seninya.
“Disebabkan topeng, ada banyak perkara yang membuatkan saya terpaksa tolak. Ada orang pernah hadir dengan tawaran berlakon buat drama, teater sebelum ini.
“Sebab itulah, rasanya, dengan usia sekarang, sudah tiba masanya untuk saya buka topeng ini. Bukan sebab sudah penat, tetapi ini demi membuka lebih banyak peluang lain dalam bidang seni ini untuk saya,”katanya.
Dalam pada itu, kata Bandi, dia juga tidak menolak bahawa GV8 akan menyaksikan pentas terakhirnya untuk bertanding dalam program seumpamanya.
Katanya, ini berikutan, selama 40 tahun dalam industri, dia amat memahami tuntutan komitmen pada setiap pertandingan yang tentunya berbeza dengan pentas persembahan biasa.
“Keselesaan dan perasaan seronoknya itu berbeza. Sekarang ini, saya masuk GV8 sebab hendakkan pengalaman itu. Macam sahabat saya, Mus May beritahu, kalau nak pengalaman, GV adalah tempatnya.
“Saya cuba dan sendiri mengaku, memang pengalaman ini tak semua orang boleh dapat dalam industri. Dulu-dulu pun pernah saya sertai pertandingan, jadi sebab itu, saya rasa cukuplah. Ini pentas terakhir saya,”katanya.
Sumber : Utusan Online