ISU SEMASA

Najib dan Tun M dilantik kembali sebagai menteri Kabinet baru?

Penularan senarai Kabinet baharu sekali lagi tular dan kali ini menjadikan Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai menteri.

Paling menarik perhatian, senarai itu menyaksikan Najib dilantik sebagai Menteri Pelancongan manakala Mahathir dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Kerja siapa ini? Saya diberi jawatan Menteri Pelancongan tapi passport saya sudah disekat jiran saya (dalam gambar) Menteri Belia dan Sukan (Mahathir).

“Bagaimana pula nak laksana tugas saya untuk mempromosikan Malaysia di luar negara?” soal beliau dengan tanda emoji ketawa.

Senarai Kabinet itu diberi nama “Kabinet Malaysia? Mega Deal 2020.

Dalam senarai itu, Perdana Menteri masih kekal Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu kembali menarik perhatian media apabila beliau diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada hari yang sama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil ke Istana Negara.

Dalam senarai Kabinet itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Menteri Pelajaran Tinggi sementara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula diberikan Menteri Kewangan.

Paling tidak boleh diterima akal pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun ia hanya dianggap gurauan namun ia tetap mencuit hati netizen dalam keadaan kemelut krisis politik yang berlaku sekarang.- MalaysiaGazette