ISU SEMASA

Penipuan besar Menteri Kewangan, tunggu pendedahan esok, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa pendedahan rundingan terus oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini sebenarnya satu penipuan besar.

Sebaliknya Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas menteri portfolio yang sama pada zaman Pakatan Harapan itu akan membuat pendedahan tentang penipuan itu dalam sidang media di Parlimen pukul 11 pagi esok.

“Satu penipuan besar oleh Menteri Kewangan PN.Taktik jaahat PN akan dibongkarkan dlm sidang akhbar di Parlimen esok pukul 11 pagi,” tulisnya dalam Twitter beliau malam tadi.

Guan Eng juga turut melampirkan senarai kementerian dan jabatan yang mendapat kelulusan perolehan kerajaan secara rundingan terus (RT) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) membabitkan 101 projek bernilai RM6.61 billion.

Hari ini Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini berkata, senarai itu didedahkan atas dasar mendokong urus tadbir yang baik demi ketelusan pentadbiran.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pengangkutan memperoleh kelulusan perolehan kerajaan secara RT yang tertinggi dengan nilai RM4.47 bilion membabitkan empat projek, diikuti Kementerian Pertahanan RM900 juta (6 projek).

Kementerian Dalam Negeri RM517 juta (8 projek), Kementerian Komunikasi dan Multimedia RM380 juta (12 projek), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan RM170 juta (2 projek) dan Kementerian Pendidikan RM87.49 juta (7 projek).

Kementerian Kesihatan pula sebanyak RM10.87 juta membabitkan empat projek, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri RM10.36 juta (9 projek), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim RM8.46 juta (7 projek).

Kementerian Kewangan RM9.03 juta (4 projek), Jabatan Perdana Menteri RM8.18 juta (5 projek), Kementerian Pembangunan Luar Bandar RM7.36 juta (2 projek) dan Kementerian Belia dan Sukan RM6.45 juta (1 projek).

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebanyak RM6.15 juta (8 projek), Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli RM5.67 juta (13 projek), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga aan Masyarakat RM1.18 juta (1 projek).

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi RM1.17 juta (4 projek), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya RM0.57 juta (2 projek), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM0.16 juta (1 projek) dan Kementerian Wilayah Persekutuan RM0.096 juta (1 projek). -MalaysiaGazette