ISU SEMASA

DAP kecewa kerajaan PN tidak lanjutkan moratorium pinjaman bank

DAP kecewa dengan keengganan kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank yang akan tamat pada 30 September ini selama enam bulan lagi.

Parti itu berpendapat langkah tersebut akan membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, tiada sebarang sebab diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengapa kerajaan tidak melanjutkan moratorium tersebut.

“Kedegilan dan keengganan kerajaan amat dikesali kerana kos terlibat adalah kecil berbanding manfaat yang akan diperoleh. Pihak bank dilaporkan kerugian RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium enam bulan tersebut.

“Namun, ini merupakan pengorbanan yang kecil di pihak industri perbankan memandangkan industri tersebut telah mendapat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pada 29 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan individu yang kehilangan kerja pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu layak menikmati moratorium lanjutan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Selepas tempoh tersebut, moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi masing-masing.

Selain itu, pekerja yang terpaksa dipotong gaji boleh mendapat pengurangan bayaran ansuran bulanan selaras dengan pengurangan gaji tersebut dan bergantung kepada jenis pinjaman untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.

Menurut Guan Eng, keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion tersebut sepatutnya membolehkan bank membiayai kos RM6.4 bilion sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi bagi membantu pelanggan mereka mengharungi krisis ekonomi Covid-19.

Jika pihak bank tidak rela membiayai kos RM6.4 bilion tersebut, kerajaan Persekutuan patut menanggung kos RM6.4 bilion demi membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 PKS, katanya.

Menurut Guan Eng, bank sebenarnya berdepan golongan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana yang mana ramai di antara mereka tidak mempunyai wang simpanan.

Tambah beliau, kos sebanyak RM6.4 bilion adalah jumlah yang kecil berbanding puluhan bilion ringgit pinjaman tambahan oleh kerajaan di atas apa yang sudahpun diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi membiayai pakej ransangan ekonomi Covid-19.

“Justeru, kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan dilihat sebagai, pakej ransangan ekonomi PRIHATIN bernilai RM295 bilion tersebut sekadar indah khabar dari rupa, hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja dan bukan kepada rakyat biasa dan PKS.

“Tambahan pula, tiada sebarang penambahan diberikan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) RM2.1 bilion di mana RM3,000 telah diberikan kepada 700,000 PKS.

“Sekurang-kurangnya 155,000 PKS Mikro yang berkelayakan gagal memohon GKP dalam tempoh yang diperuntukkan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya menambah RM1 bilion lagi untuk GKP,” ujarnya.

Kata Guan Eng, Program Subsidi Upah juga tidak dilanjutkan sehingga Mac 2021 bagi membantu pekerja Malaysia.

Dengan peningkatan mendadak kadar pengangguran sehingga 5.3%, yang mana terdapat 830,000 pekerja menganggur, pelanjutan program ini perlu dilaksanakan sekarang juga untuk menyelamatkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia, tambah beliau.

Katanya, kerajaan patut membantu mengekalkan pekerjaan rakyat dan bukan hanya membantu selepas rakyat kehilangan kerja.

Berikutan itu, jelas beliau, kerjaaan perlu menumpukan perhatian kepada pelebaran bantuan kewangan kepada perniagaan-perniagaan kecil, gaji pekerja, dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi demi menyelamatkan perniagaan-perniagaan kecil daripada muflis dan pemberhentian pekerja. – MalaysiaGazette