ISU SEMASA

Anwar, Mukhriz dilantik TPM jika Shafie Apdal menjadi Perdana Menteri, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan, kumpulannya bersama-sama DAP, Amanah dan Warisan bersetuju mencadangkan supaya Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik sebagai timbalan perdana menteri 1 dan anaknya Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri 2.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas pembangkang mengambil keputusan sebulat suara untuk mencalonkan Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri seterusnya sekiranya gabungan pembangkang kembali berkuasa.

“Dalam perbincangan, saya terbuka kepada cadangan, termasuk saya tidak dicalonkan sebagai bakal perdana menteri. Di antara cadangan yang dikemukakan ialah pencalonan Shafie Apdal sebagai perdana menteri.

“Kami sebulat suara bersetuju Shafie dinamakan sebagai calon perdana menteri. Kami juga bersetuju mencadangkan Anwar sebagai calon timbalan perdana menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon timbalan perdana menteri 2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahathir berkata, keputusan itu juga dipersetujui oleh Warisan, Amanah dan DAP yang bermesyuarat pada 25 Jun lalu, di Rumah Tetamu Sabah, Kuala Lumpur.

Pertemuan itu dihadiri Shafie, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, bekas Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya dan bekas Timbalan Presiden PPBM Mukhriz.

Terdahulu hari ini, dalam satu rakaman video yang menunjukkan beliau berucap kepada ahli akar umbi PPBM, Mahathir menjelaskan tentang langkah menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.

Menjelaskan mengenai keputusan memilih Shafie, Mahathir berkata, beliau merupakan salah seorang pemimpin asal yang menentang kerajaan kleptokrasi sejak sebelum pilihan raya umum ke-14 lagi.

Bahkan katanya, Shafie adalah pemimpin awal yang menjadi mangsa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

“Shafie disingkir dari jawatan menteri serta naib presiden Umno kerana tidak dapat menerima perbuatan rasuuah dan pencuurian wang rakyat menerusi skaandal 1MDB yang begitu memualkan.

“Shafie ketika itu bersama-sama dengan Muhyiddin Yassin.

“Kini Muhyiddin meninggalkan perjuangan dan kembali bersama dengan kleptokrat yang dahulu menghuukum dan menyingkirkannya.

“Saya percaya jika langkah ini berjaya, ia akan merapatkan lagi hubungan antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mahathir berkata, selain mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin, beliau juga akan menyokong usul mencalonkan Shafie untuk menjadi perdana menteri.

“Jika usaha ini berjaya, langkah untuk pastikan asas demokrasi seperti yang dituntut rakyat akan dapat kita penuhi. Kita perlu tamatkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat,” katanya.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *