ISU SEMASA

“DAP sekarang bukan macam dulu, DAP sudah banyak berubah” – Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, DAP sudah banyak berubah berbanding era semasa beliau menjadi Perdana Menteri keempat dan Presiden UMNO.

Dr. Mahathir berkata, berbanding DAP yang “sangat Cina” dulu, DAP kini mampu memenangi kerusi walaupun meletakkan orang Melayu sebagai calon.

Dr. Mahathir berkata demikian kepada Sinchew Daily yang bertanya mengenai kenyataan lamanya yang membidas DAP sebagai parti cauvinis dan rasis.

“(Dulu) DAP memanggil saya diktator, rasuah, menyeleweng kuasa dan macam-macam lagi.

‘Kenapa ini terjadi? Kerana semasa anda sedang bertaarung, kamu akan memanggil lawan sebagai syaaitan walaupun dia ini orang yang baik,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, DAP sekarang amat berbeza dengan DAP yang melawannya pada satu ketika dulu.

“Tengok DAP, apabila mula-mulanya ditubuhkan pada 1965, ia merupakan cawangan PAP Singapura.

“Mereka ‘sangat Cina’, tetapi DAP sedar bahawa mereka tidak boleh seperti PAP di Singapura kerana pada masa itu 75 peratus penduduk Singapura adalah orang Cina sementara 60 peratus penduduk sini adalah Melayu. Oleh itu, DAP telah banyak berubah,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, DAP sedar bahawa mereka tidak akan maju ke depan dan hanya dapat menjadi pembangkang sekiranya gagal mendapat sokongan Melayu.

Ujar Dr. Mahathir, kesedaran itu mendorong DAP bekerjasama dengannya.

Menurut bekas Perdana Menteri, apabila Bersatu menyertai pakatan politik yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, beliau telah dicadangkan sebagai calon PM walaupun tidak meminta jawatan itu.

“Ini kerana masa itu Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berada di penjara dan tidak boleh menjadi calon PM. Kalau Anwar ada, saya yakin beliau akan minta jawatan PM.

“DAP, Amanah dan PKR mencalonkan saya sebagai PM, satu orang yang mereka panggil syaitan sebelum ini sedangkan saya tidak pernah meminta,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, sebagai seorang yang pragmatik, beliau boleh bekerjasama dengan DAP untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun wujud masalah antara beliau dengan parti itu.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir tidak bersetuju bahawa Bersatu akan kalah jika bekerjasama dengan DAP.

“Mereka kata DAP mampu memusnahkan Melayu. Ini mengarut kerana orang seperti Najib dan Muhyiddin yang dapat memusnahkan Melayu. Ini kerana mereka menipu, rasuah dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *