ISU SEMASA

Jika Dr M mungkir janji, kami akan ‘paksakan’ pilihan raya, kata DAP berkait janji baru PH

Perjanjian baru dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mencalonkan semula Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri bakal menyaksikan kerajaan gabungan itu tumbang sekali lagi jika pemimpin veteran itu enggan berundur dalam tempoh 6 bulan yang ditetapkan, dedah seorang pemimpin DAP.

Setiausaha organisasi DAP Loke Siew Fook berkata demikian bagi meredakan kebimbangan bahawa Mahathir tidak akan memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim jika PH bersetuju melantik beliau sebagai perdana menteri sekiranya gabungan politik itu berjaya membentuk kerajaan semula.

“PKR ada 38 ahli Parlimen. Mahathir tidak boleh terus memerintah. Setiap parti boleh menjatuhkan kerajaan sekiranya ia menarik diri (daripada kerajaan),” katanya kepada Malaysiakini.

“Jika janji tidak ditepati (oleh Mahathir), PKR mempunyai pilihan untuk memaksakan pilihan raya pada masa itu,” katanya.

Terdahulu FMT melaporkan bahawa PH bercadang untuk mencalonkan semula Mahathir sebagai perdana menteri dengan Anwar sebagai timbalan beliau.

Juga dilaporkan bahawa Mahathir akan berkhidmat sehingga akhir tahun dan Anwar menggantikan beliau selepas itu.

Loke, yang mengesahkan cadangan itu dibuat, menjawab kritikan pemimpin PKR yang berpihak kepada Anwar, bahawa Mahathir tidak boleh dipercayai untuk menunaikan janjinya selepas beliau gagal berundur dan memberi ruang kepada Anwar semasa mengetuai kerajaan PH selama 21 bulan sebelum ini.

Gabungan PH yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP serta Warisan di Sabah dan 4 ahli Parlimen yang menyokong Mahathir, dijangka mengumumkan calon perdana menteri mereka semalam dalam kempennya untuk merampas semula kuasa persekutuan melalui usul undi tidak percaya.-FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *