ISU SEMASA

10 sebab yang ramai rakyat tidak tahu mengapa peralihan kerajaan tidak akan berlaku

Kata Salahuddin, PH sudah mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi, dan PH boleh kembali ke Putrajaya sebelum Parlimen bermula pada Julai ini.

Begitupun, pada hemat saya, terdapat 10 sebab mengapa peralihan kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) kepada PH tidak akan berlaku dan mengapa PN akan terus berkuasa hingga PRU-15.

(1) Jika betul cukup nombor, PH tidak akan mendedahkannya kerana ini akan memberi ruang kepada pihak lawan untuk mengatur strategi.

(2) Jika betul cukup nombor, PH tidak akan mendedahkannya, sebaliknya akan terus menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan.

(3) Jika ini berlaku, imej PH akan jatuh merudum kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik.

(4) Jika kerajaan PH berjaya dibentuk, ia pastinya bukan sebuah kerajaan yang stabil kerana tanpa majoriti besar ia boleh dijatuhkan semula.

(5) Jika betul cukup nombor, Perdana Menteri akan menggunakan peruntukan perlembagaan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

(6) Jika dinasihatkan untuk membubarkan Parlimen, Yang di-Pertuan Agong akan melakukannya dari membiarkan kitaran politiking tidak berkesudahan.

(7) Jika Parlimen dibubarkan, ramailah Ahli Parlimen dari PH sendiri yang tidak akan ada peluang untuk menikmati pencen sebagai Ahli Parlimen.

(8) Jika Parlimen dibubarkan, PN mempunyai kelebihan yang besar dalam PRU akan datang kerana ia akan berperanan sebagai ‘caretaker government’.

(9) Jika Parlimen dibubarkan, besar kemungkinan PH akan mengalami penolakan besar-besaran dalam PRU akan datang berdasarkan sentimen semasa rakyat.

(10) Jika Parlimen dibubarkan, besar kemungkinan PH tidak akan bersedia untuk menghadapinya dan akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU-15.

Bahkan PH akan mengalami kekalahan teruk dalam PRU baharu jelas diakui oleh pemimpin DAP, Ronnie Liu Tian Khiew, yang menyebut;

“In the event of dissolution of Parliament, the risk of losing power to PAS and UMNO/MCA/MIC is very real” (“Jika berlaku pembubaran Parlimen, risiko kehilangan kuasa kepada Pas dan UMNO/MCA/MIC adalah sangat nyata”).

Beranikah PH mengambil risiko sangat besar ini? Jawapannya sudah pastilah tidak kerana ia adalah umpama tindakan menggali lubang kubur untuk PH.

Bahawa PN akan terus berkuasa hingga PRU-15 juga jelas diakui oleh pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang menyebut;

“While concerns about its infighting and disunity are valid, PN will likely hold together until the 15th general election” (“Sementara cakap-cakap mengenai pertikaian dan perpecahan dalaman adalah benar, PN akan kekal bersama sehingga PRU-15”).

Cakap-cakap “cukup nombor” ini sebenarnya hanyalah psy-war PH untuk menakutkan Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN PH dari terus menyertai PN sahaja. – MalaysiaGazette

p/s : Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan juga Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *