ISU SEMASA

Tidak Perlu Kursus Pra Kahwin Ketika PKPB, Tapi Ini Syarat Yang Perlu Bakal Pengantin Lepas Dulu

Bakal pengantin tidak perlu mengikuti kursus pra perkahwinan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebaliknya hanya perlu ditemuduga sebelum dinikahkan di Pejabat Agama Daerah masing-masing.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) memberi kelonggaran itu kepada calon suami dan isteri berikutan kursus pra perkahwinan tidak dapat diadakan akibat pandemik C0VID-19.

Katanya, pasangan yang ditemuduga juga tidak dikenakan sebarang yuran dan proses itu dijangka mengambil masa kira-kira 15 minit bagi memudahkan bakal pengantin.

“Kursus pra perkahwinan selalunya mengambil masa enam jam dan bakal pengantin perlu menghadiri kelas anjuran pihak yang diberi kelulusan sebelum sijil kursus dikeluarkan, jadi ketika PKPB kursus ini tak dapat diadakan.

“Bagi calon yang belum mengikuti kursus ini dan mahu bernikah ketika PKPB, maka mereka akan ditemuduga ringkas seperti hanya diminta untuk mengucap syahadah dan beristigfar sebelum akad nikah,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut meminta Kementerian Pengangkutan membenarkan operasi feri Langkawi ditambah selepas pengusaha feri terpaksa menghadkan jumlah penumpang bagi memastikan penjarakan sosial dilaksana.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengusaha feri tidak dapat menampung kos bahan api dan operasi berikutan feri hanya dibenarkan beroperasi dua perjalanan sahaja sehari iaitu pada jam 11 pagi dan 4 petang.

“Apabila tak dapat tampung kos, saya difahamkan mereka mengenakan surcaj RM10. Kerajaan negeri akan cuba berunding dengan kementerian berkenaan sama ada kita boleh tambah perjalanan feri atau mohon subsidi.

“Ini adalah untuk kebaikan penduduk Langkawi yang berulang alik ke tanah besar dan penduduk tanah besar yang mahu ke pulau berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tambang feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah serta sebaliknya, dikenakan surcaj RM10 berikutan arahan penjarakan sosial, namun ia dibatalkan selepas menerima rungutan orang ramai.

Sumber : berita harian via onlinemalaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *