ISU SEMASA

Rakyat Malaysia jangan menggelabah atas sebab yang tak munasabah

Rakyat Malaysia yang cuba meningkatkan sentimen anti-Rohingya diingatkan tidak meletakkan diri mereka pada tahap paling rendah seperti individu tidak bertamadun hanya atas sebab-sebab yang tidak munasabah.

Sikap itu sepatutnya tidak berlaku kerana rakyat Malaysia dikenali sebagai sebuah masyarakat negara berdaulat yang memiliki sikap berperikemanusiaan dan bertanggungjawab dengan sesama insan yang cukup tinggi.

Reputasi ini telah dipertahankan oleh Malaysia sejak dahulu dan ia perlu dikekalkan.

Oleh itu, Prof. Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, adalah tidak wajar sama sekali reputasi itu ‘dicalarkan’ dengan sentimen-sentimen anti-Rohingya disebabkan tuntutan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya di Malaysia (Mehrom).

Tegas beliau, isu pelarian Rohingya tidak ada kena-mengena dengan tuntutan hak yang dikemukakan oleh Mehrom, sebaliknya ia lebih kepada isu sebuah kehidupan sesama insan.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) berkata, rakyat Malaysia sepatutnya tidak mudah panik atau menggelabah dalam menangani isu sebenar yang dihadapi etnik Rohingya dan Mehrom.

Katanya, Mehrom hanyalah sebuah badan kecil yang tidak pun mewakili sepenuhnya pelarian-pelarian Rohingya di negara ini.

Malah, tuntutan yang dibuat oleh persatuan itu ternyata tidak dilayan pun oleh kerajaan dan asasnya pun tiada dalam Perlembagaan Malaysia untuk rakyat Malaysia khususnya orang Melayu atau Bumiputera berasa khuatir.

”Logiknya, tuntutan India Muslim untuk mendapatkan hak sama rata seperti orang Melayu dan Bumiputera tidak dilayan oleh kerajaan, apatah lagi pelarian Rohingya.

“Jadi, untuk apa kita perlu menggelabah, tak kena gaya. Sentimen (anti-Rohingya) tidak sepatutnya berlaku. Kenapa kita perlu ada rasa hendak biarkan manusia lain m4ati?

”Ini bukan sikap orang Malaysia, kita sepatutnya ada sikap bertanggungjawab sesama insan, sesama manusia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ahmad Murad yang mengikuti isu ini sejak awal menambah, sepatutnya rakyat Malaysia memberi tekanan kepada kerajaan untuk terus membawa isu pelarian Rohingya ini lebih serius di peringkat ASEAN.

Ini kerana, isu peniindasan etnik Rohingya ini tidak ditentang sewajarnya oleh negara-negara rantau ASEAN.

“ASEAN kata m4arah pada Myanmar tetapi pada masa sama ASEAN tidak menegur Myanmar secara kolektif.

“Kema4rahan ASEAN terhadap Myanmar tidak ditunjukkan dengan jelas, tidak ada tindakan segera atau langkah kecem4asan, juga tiada sekatan.

“Akibatnya, Myanmar tidak peduli dengan kem4arahan yang dinyatakan ASEAN dan terus melakukan pembersihan etnik terhadap Rohingya.

“Etnik ini dibuuunuh secara beramai-ramai menyebabkan mereka terpaksa menjadi pelarian demi menyelamatkan nyawa masing-masing daripada kekej3aman Kerajaan Myanmar.

“Sebagai kumpulan serantau bersama Myanmar, ASEAN sebenarnya gagal akibat berlembut dengan negara itu.

“Kita pula di sini tiba-tiba tidak mahu melindungi etnik yang lemah ini, apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia. Di mana rasa kemanusiaan kita sesama insan,” ujarnya.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia perlu melindungi etnik ini juga pelarian-pelarian lain atas sebab kemanusiaan, tidak kira etnik Rohingya yang Islam atau mana-mana pelarian lain pun.

Perlindungan yang diberi ini adalah dengan memberi mereka hak mereka yang ditindas.

Makna perlindungan ini adalah dengan memberi mereka hak asas sebagai seorang insan yang memerlukan makanan, tempat tinggal, pendidikan dan ubat-ubatan.

Dan, dengan status pelarian, orang Malaysia perlu tahu bahawa status etnik Rohingya di sini tidak lebih daripada itu, walau apa pun tuntutan yang dibuat.

“Status pelarian tetap sebagai pelarian dan sama sekali tidak akan mengubah Perlembagaan mahu pun menjejaskan keistimewaan orang Melayu,” jelas Ahmad Murad.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *