ISU SEMASA

‘Saya tidak akan sesekali bersara, akan kembali jika rakyat masih mahukan saya’ – Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak akan bersara dari arena politik, sebaliknya bekas perdana menteri itu berjanji akan kembali sekiranya rakyat masih mahukannya.

Dr Mahathir, 94, berkata sekiranya berlaku kepincangan dalam kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini, beliau akan kembali semula kerana masih ramai pihak yang tampil berjumpa dengannya.

“Sekarang pun mereka datang jumpa saya. Saya beritahu mereka, saya sudah tua, berusia 94 tahun, tetapi mereka kata mereka tak nampak ada orang (lain) yang berpengalaman.

“Saya mempunyai pengalaman sebagai PM selama bertahun-tahun, dan saya belajar sesuatu, jadi mereka merasakan saya dapat menyelesaikan banyak masalah,“ katanya ketika ditemubual oleh Nikkei Asian Review di Putrajaya.

Beliau turut mengakui akan terus menjadi Ahli Parlimen Langkawi sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dr Mahathir yang baru meletak jawatan tiga minggu lalu turut mengakui bahawa beliau adalah seorang yang tidak senang melihat pemimpin negara melakukan kesilapan.

“Saya tidak boleh melihat kerajaan yang melakukan sesuatu yang salah. Saya rasa saya mempunyai kewajipan untuk melakukan sesuatu,“ katanya.

Ditanya samada beliau akan turut menawarkan diri pada PRU15 nanti, Dr Mahathir berkata dia akan melakukannya jika itu apa yang rakyat mahukan, walaupun secara peribadi beliau beranggapan sebaliknya.

“Jika anda bertanya kepada saya, saya tidak mahu melakukannya kerana pada masa itu saya akan berusia 98 tahun,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *