ISU SEMASA

Bekas timbalan menteri kesihatan gesa agar sekolah ditutup sebulan

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada mengurangkan keseriusan kesan Co0vid-19 berbanding usaha mengesan kontak rapat pesaaakit yang disahkan.

Dalam hantaran di Facebook semalam, beliau berkata jumlah kes dan kontak rapat ketika ini terlalu banyak untuk membolehkan pengesanan dan pengasingan.

“Jumlah kes dan kontak rapat sangat tinggi dan tidak mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengesan dan mengasingkan semua.

“Oleh itu, tidak mungkin lagi untuk buat pembendungan,” katanya.

“Kita harus menumpukan perhatian kepada mitigasi iaitu mengurangkan bilangan kes dan mengoptimumkan sumber penjagaan kesihatan,” katanya, sambil menambah kementerian itu harus melatih lebih banyak kakitangan untuk menangani pandemik berkenaan.

Kenyataan Lee itu hadir selepas semalam Malaysia mencatatkan peningkatan mendadak 190 kes, menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes.

Kebanyakan kes baru yang dicatatkan dikaitkan dengan program tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu yang disertai kira-kira 14,500 rakyat Malaysia.

Dalam kenyataannya, Lee juga berkata hospital perlu memberi tumpuan kepada merawat kes-kes yang teruk manakala kes-kes ringan dan pesaaakit tanpa simptom perlu diletakkan di kawasan khusus dengan penjagaan yang kurang intensif.

“Pesaaakit di bawah siasatan (PUI) perlu dimasukkan dalam kemudahan pengasingan khas seperti hotel atau asrama khas sehingga Cov0id-19 dibendung,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menutup premis institusi pendidikan selama sebulan.

“Sekolah, kolej, universiti, tadika perlu ditutup selama sebulan,” katanya.

“Hentikan perhimpunan selama sebulan, termasuk semua aktiviti kegiatan keagamaan, sosial, sukan,” tambah Lee.

Ahli Parlimen Gopeng itu berkata tujuan kawalan adalah untuk melambatkan atau mencegah wabak berkenaan menjadi lebih parah sehingga musim panas di atmosfera utara atau rawatan berkesan ditemui.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya satu tahun lagi untuk penghasilan vaksin wabak itu.

Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk membincangkan langkah-langkah selanjutnya yang diperlukan untuk membendung jangkitan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *