ISU SEMASA

“Tun Mahathir bukan mahu selamatkan negara, agendanya hanya mahu tumbangkan saya” – Najib

Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hutang negara atau jual negara bukan punca utama Tun Dr Mahathir Mohamad menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Dr Mahathir didakwa hanya mahu menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana, Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin pun pernah menyokong pelaksanaan GST.

Sebelum menjadi Perdana Menteri semula Dr Mahathir juga pernah mengaku nisbah hutang negara adalah terkawal dan bulan lepas beliau mengakui kekayaan negara telah naik ke RM2 trilion – iaitu kenaikkan RM1.2 trilion pada masa pentadbiran BN.

”Apabila PM ke-4 umum henti sokong saya pada bulan Ogos 2014, dia tak sebut pun 1MDB atau GST atau hutang negara.

”Bukan kerana jual negara juga kerana apabila dia jadi PM sekali lagi, semua projek-projek masa saya yang dia tuduh sebagai jual negara diteruskan begitu sahaja serta banyak menjual aset-aset negara lain kepada negara asing.

”Geely dan Proton pun dia puji melambung-lambung selepas PRU14,” kata Najib menerusi hantaran di Facebook.

Malah tambah Ahli Parlimen Pekan itu, Dr Mahathir juga tidak berniat pun hendak menyelamatkan negara pun.

”Cuma nak tumbangkan saya,” katanya yang mendakwa selepas PRU14 Pakatan Harapan tidak menyelamatkan apa-apa pun.

Malah, lagi banyak kegagalan dicapai oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Dr Mahathir sejak PRU14.

Dalam wawancaranya bersama sebuah media, Dr Mahathir mengakui beliau sanggup rujuk dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP untuk mengalahkan BN pada PRU14.

”“Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih baahaya.

“Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14),” kata Dr Mahathir. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *