ISU SEMASA

Tun Mahathir mohon maaf pada ahli parlimen PH kerana letak jawatan, akui ‘diperdaya’ Muhyiddin

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, meminta maaf kepada anggota parlimen PH di pejabatnya di Kuala Lumpur pada semalam, ketika bekas sekutunya, Muhyiddin Yassin, bersiap sedia menjadi perdana menteri baru.

Berdasarkan rakaman video, Mahathir membuat permohonan maaf tersebut kerana beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 24 Feb lalu.

Tindakan tersebut diambil Mahathir selepas beliau percaya telah kehilangan sokongan majoriti ekoran tindakan ahli parlimen Bersatu – diketuai Muhyiddin – meninggalkan PH pada hari tersebut.

“Saya telah melakukan kesilapan. Saya mengambil keputusan meletak jawatan. Saya meletak jawatan kerana saya hilang sokongan (majoriti ahli parlimen).

“Jadi, saya terpaksa letak jawatan. Saya tiada pilihan.

“Saya fikir jika saya letak jawatan, ia (isu pelantikan perdana menteri baru) akan kembali kepada Agong,” kata Mahathir.

Turut kelihatan dalam video tersebut, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang pernah didakwa bercadang menuntut jawatan timbalan perdana menteri menjelang mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Feb lalu.

Sebaliknya dalam mesyuarat itu Anwar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai jawatan tersebut, sebaliknya memberikan sokongan kepada Mahathir.

Dia orang nombor dua

Ahli parlimen Langkawi itu berkata beliau mendapat sokongan semula pada akhirnya, tetapi itu tidak mencukupi untuk menghalang pembentukan kerajaan baru yang diketuai Muhyiddin.

“Jadi, saya ingin memberitahu anda sekali lagi, saya minta maaf,” katanya dalam video tersebut.

Sesetengah ahli parlimen yang hadir di mesyuarat tersebut telah mengesahkan kandungan klip video, yang disiarkan oleh pengguna Twitter @RashidYusoff11.

[Tun M Dedahkan Pengkhianatan Muhyiddin] pic.twitter.com/bx84pdE9BJ

— Rashid Yusoff (@RashidYusoff11) March 2, 2020

Sementara itu, Mahathir juga memberitahu bahawa beliau diperdaya untuk mempercayai Muhyiddin.

“Sejurus selepas memberitahu saya bahawa dia setia kepada saya, dia mengkhianati saya, dia tidak menunjukkan kesetiaan kepada saya. Dia menunjukkan kesetiaan untuk diri sendiri.

“Dia sedia bekerjasama, walaupun dengan orang yang pencuri, penyangak, pembunuh, dia sanggup kerjasama. Itulah jenis watak yang kita ada,” katanya.

Mahathir juga meminta maaf kerana tidak menyedari terlebih dahulu bahawa beliau akan dikhianati.

“Saya minta maaf, dia adalah orang nombor dua saya, saya selalu syak wasangka, tetapi anda tidak selalu bertindak atas kecurigaan (kecuali) jika anda mempunyai bukti penuh, anda bertindak,” katanya.

Muhyiddin mengetuai sekumpulan anggota parlimen Bersatu membentuk satu pakatan dengan anggota parlimen dari Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti yang lebih kecil.

Bilangan ahli MP yang setia kepada Muhyiddin dan Mahathir kini dipersoalkan disebabkan oleh kesetiaan sesetengah ahli parlimen yang terus berubah-ubah.

Sokongan Muhyiddin hanya akan diuji apabila sidang parlimen bermula.

Sumber : malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *